Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 31th March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 206 apabila lima lagi kes disahkan hari ini. 12 kes sudah pulih.

Setakat ini, Tawau kekal sebagai daerah tertinggi mencatat kes Covid-19 sebanyak 63 kes, diikuti Lahad Datu 35 kes termasuklah tujuh kes yang sudah pulih manakala Kota Kinabalu kekal 29 kes.

Sementara itu, Sandakan mencatatkan 16 kes hari ini termasuklah tiga kes yang sudah pulih, Kinabatangan 14 kes dan daripada jumlah itu dua kes sudah pulih.

Manakala daerah seperti Tuaran, Beaufort, Kunak, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar,Ranau, Penampang, Semporna dan Tambunan tidak menunjukkan sebarang peningkatan kes hari ini.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaporkan 43 kematian di seluruh Malaysia termasuk enam kes terbaru hari ini. Peningkatan kes harian  sebanyak 140, menjadikan jumlah keseluruhan 2,766 kes termasuklah 537 kes yang sudah pulih.

Seramai 94 pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi, 60 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

* Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah telah menerima senarai nama e-Kasih dan golongan berpendapatan rendah B40 yang bakal mendapat faedah daripada Pakej Bantuan Covid-19 Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan data yang diperolehi daripada pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah, terdapat seramai 38,203 penerima e-Kasih bagi golongan miskin tegar  dan miskin yang akan menerima bantuan one-off RM500 seorang.

* Pelbagai tohmahan telah dilemparkan terhadap Parti Warisan Sabah terutama berkaitan sumbangan barangan keperluan kepada isi rumah memerlukan yang dikatakan tidak mencapai nilai RM100 akibat tindakan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, UPPM yang telah menyalahgunakan atau  ‘songlap’ peruntukan.

Akibat tuduhan tidak berasas itu yang dicanang oleh cybertrooper politik, beberapa pihak termakan hasutan sehingga lupa segala kerja keras yang telah dicurahkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Mohd. Shafie bin Haji Apdal untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

Bagaimanapun ketika serangan itu datang dari pelbagai sudut, pimpinan Warisan tidak pernah goyah, sebaliknya mereka tetap bekerja keras sejak 18 Mac lalu untuk memastikan rakyat di kawasan masing-masing mendapat bantuan yang diberikan.

Contohnya, di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, penyerahan pelbagai pakej barangan makanan asas telah dimulakan sejak hari pertama PKP lagi oleh wakil rakyatnya, Datuk Junz Wong.

Bagi memastikan sasaran menyerahkan bantuan kepada setiap isi rumah tercapai, Datuk Junz sendiri turun padang meninjau proses agihan berkenaan untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

Minggu lalu,  4,860 pek makanan telah  diedarkan di kawasan DUN Tanjung Aru.

Semalam, 1,000 baris telur, 600 karton air minuman, 200 pek beras, 500 pek makanan,  500 pek beras, telur dan makanan digerakkan di sekitar Sembulan kata Datuk Junz.

Selain di kawasan bandar, masyarakat di pedalaman yang terkesan dengan PKP juga tidak ketinggalan daripada menerima bantuan, malah jentera kerajaan yang dibentuk akan memastikan bantuan tersebut sampai di pintu rumah penerima.

* Tiada aktiviti jenayah rentas sempadan dilaporkan di perairan Sabah di sepanjang tempoh PKP kata Komander Pasukan Polis Marin, PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Menurut ACP Mohamad Pajeri, sepanjang tempoh 14 hari lalu, sembilan individu ditangkap dalam empat kes berasingan di Kudat dan Kota Kinabalu, akibat degil dan tidak mematuhi PKP di perairan Sabah.

Daripada jumlah itu lapan individu ditahan di perairan Kudat manakala, satu di Kota Kinabalu.

Pasukan Polis Marin  dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sabah mengerakkan 42 bot ronda dengan kekuatan 450  pegawai dan anggota bagi menjalankan pemantauan Op Covid-19 di perairan Sabah.

Atur gerak semua aset-aset itu adalah untuk memastikan masyarakat maritim di perairan Sabah mematuhi PKP yang berkuatkuasa sehingga 14 April.

Terdapat 14 pusat pemeriksaan di laut yang telah ditetapkan bagi mengawal pergerakan penduduk yang tinggal di pulau ke daratan serta dari daratan ke pulau.

Menurutnya, setakat ini kadar pematuhan PKP di perairan Sabah juga sama seperti di daratan iaitu 95 peratus seperti dimaklumkan Pesuruhjaya Polis Sabah.

* Sementara itu, ACP Mohamad Pajeri  berkata, setakat ini belum ada sebarang laporan kemasukan kumpulan tabligh melalui jalan tikus. Beliau berkata, sepanjang tempoh 14 hari PKP  berkuatkuasa, hanya dua pergerakan masuk kumpulan tabligh tempatan yang pulang dari Indonesia dilaporkan.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara,  MKN Sabah akan memaklumkan  kemasukan kumpulan tabligh untuk tindakan selanjutnya.

Setakat ini, dua kumpulan tabligh warga tempatan yang menghadiri Himpunan Ijtimak Asia 2020 di Sulawesi telah tiba di Sabah melalui perairan Tawau.

Kumpulan pertama seramai 12 orang tiba di Tawau pada 22 Mac dan kumpulan kedua melibatkan enam tabligh tiba pada 29 Mac. Kesemua mereka terus dikuarantin sebaik tiba di Sabah.

* 65.6% penduduk di Pulau Gaya telah diperiksa dan 1,600 sampel telah diambil dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kesemua sampel itu diambil sepanjang tempoh tiga hari bermula 28 hingga 30 Mac melalui pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19.

Langkah ini adalah susulan keputusan Kerajaan Sabah menghentikan serta-merta pergerakan penduduk dari Pulau Gaya ke tanah besar sepanjang tempoh PKP.

* Di Sarawak, proses pengagihan bekalan makanan asas kepada penduduk terjejas khususnya di  pedalaman, dipermudahkan dengan menggunakan “ Food Basket ” bermula semalam bagi proses pengagihan kepada  70  rumah panjang di Zon Tubau Jelalong dekat Bintulu.

Untuk memudahkan pengagihan “ Food Basket ” , setiap Tuai Rumah atau wakil setiap rumah panjang di Zon Tubau Jelalong hadir ke pusat pengedaran di Bintulu.