Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 31st July 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Datuk Seri Mohd Shafie tiba di perkarangan masjid pada jam 7.15 pagi diiringi isteri Datin Seri Shuryani Shuaib dan disambut oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar.

Solat sunat Aidiladha itu diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Suhaidi Kuanting, manakala khutbah disampaikan oleh Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Sementara itu, rata-rata jemaah di masjid berasa teruja kerana dapat menunaikan ibadah sunat berkenaan meskipun negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, PKPP.

* Di Tawau, lebih 3,000 jemaah menunaikan solat Aidiladha dengan mematuhi prosedur operasi standard, SOP di Masjid Al-Kauthar, Jalan Pesisiran.

* Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri Sabah semalam berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Perkara ini diumumkan Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak.

Berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah , pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Dengan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri Sabah.

* Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sabah akan terus menjalankan siasatan berhubung laporan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN yang ditawarkan wang untuk melompat parti.

Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy berkata, pihaknya telah menghubungi ADUN yang dipercayai menerima tawaran tersebut baru baru ini.

Menurutnya, siasatan itu dibuat berdasarkan laporan media yang mendakwa kononnya beberapa ADUN Sabah telah ditawarkan wang dan jawatan untuk melompat parti.

Namun, hasil interaksi tersebut, ADUN terlibat enggan membuat laporan rasmi kepada SPRM dengan alasan tiada sebarang transaksi rasuah yang berlaku.

* Semua wakil rakyat Parti Warisan Sabah yang melompat parti dan menyokong Tan Sri Musa Aman, telah memecat diri mereka sendiri.

Sehubungan itu, Warisan tidak perlu mengambil tindakan lanjut.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata, menurut Perlembagaan parti, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN telah membatalkan keahlian masing-masing selepas menyertai organisasi yang berlainan.

Menurutnya, dalam kes ini mereka dianggap telah menyertai Musa Aman dan bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan Warisan.

Menurut Artikel 3.3 Perlembagaan Warisan, keahlian seseorang terlucut selepas menyertai parti politik lain di negara ini.

Menurut Loretto, Warisan tidak berhasrat walau dengan apa cara sekalipun untuk menerima kembali pembelot-pembelot ini. Mereka telah membakar jambatan penghubung dengan parti.

* Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO memecat Naib Presiden parti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.

Keputusan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UPKO yang bermesyuarat semalam selepas mendapati Abidin terlibat bersama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk cuba mengambil alih Kerajaan Sabah.

* Pakatan Harapan, PH menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal bagi menentang cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Kenyataan Majlis Presiden PH, semalam, berkata tindakan pihak pembangkang membeli wakil rakyat yang seterusnya menggalakkan pembelotan oportunis harus ditolak.

* Satu kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini melibatkan seorang bukan warganegara di Penampang.

Kes ini dikesan melalui ujian sampel ke atas seorang pesakit yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Ini adalah kes kematian kelapan di Sabah dan ke-125 di Malaysia.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata kes terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 398 kes.

31st July 2020.