Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 31st August 2020

Bersama Hikma Juni.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mengingatkan pemimpin politik terutama PAS agar tidak mengeluarkan kenyataan yang melampau hingga boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata, kenyataan bersifat perkauman bukan langkah yang harus dilakukan jika ingin melihat negara ini maju ke hadapan.

Katanya, jika rakyat tidak belajar apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang mempunyai amalan perkauman yang tebal serta ektremisme agama, maka perpaduan dan kemakmuran tidak akan dapat dikecapi.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, kenyataan yang melampau tidak seharusnya dikeluarkan kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada generasi akan datang.

* Sabah menegaskan pendiriannya yang kekal untuk meneruskan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, dalam perkara berkaitan dengan hal ehwal negara.

Ketua Menteri berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan Sabah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara.

Beliau berkata, kerjasama kerajaan dengan kerajaan atau G2G ini berlainan dengan politik. Demi kepentingan negara, perbezaan politik perlu diketepikan.

Menurutnya, pendirian dan prinsip politiknya mengenai sesuatu isu tidak boleh dicampur aduk dengan tanggungjawab mentadbir negeri.

* Sambutan Hari Kebangsaan ke 63 di Sabah, dengan norma baharu, diadakan secara sederhana bagi mematuhi prosedur operasi standard dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, PKPP akibat pandemik Covid-19.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri diadakan secara tertutup pada skala kecil, namun penuh dengan semangat patriotik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, SICC, di Kota Kinabalu, pagi tadi.

* Parti Warisan Sabah, Warisan melahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri.

Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis berkata Muhyiddin seolah-olah menidakkan kemampuan Sabah untuk melaksana agenda pembangunan tanpa bantuan Persekutuan.

Kenyataan Muhyiddin itu juga jelas membuktikan bahawa beliau tidak sensitif dengan keinginan rakyat Sabah.

Munirah, yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, apa yang rakyat Sabah mahukan adalah kemerdekaan dalam ertikata sebenar dimana kerajaan negeri diberi kuasa sepenuhnya untuk menentukan hala tuju dan pembangunan negeri ini, tanpa dibelenggu parti-parti politik yang mentadbir kerajaan Pusat.

Tambahnya, sekiranya Muhyiddin benar-benar ikhlas dan memahami perjuangan rakyat Sabah selama ini, maka Perdana Menteri sepatutnya mengumumkan Sabah mendapat kembali hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, MA63.

* Tindakan seseorang pemimpin untuk melompat parti adalah satu pilihan dan bukannya paksaan.

Penyelaras DAP Sook, Clare Taunek berkata, alasan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN Kemabong, Jamawi Jaafar untuk menyertai semula gabungan Tan Sri Musa Aman demi pembangunan rakyat di Kemabong adalah tidak kukuh.

Menurut Clare, dalam usaha menumbangkan kerajaan kleptokrasi yang lambat-laun akan menyusahkan ekonomi negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, seorang pemimpin sepatutnya tahu hala tuju negara tercinta yang bakal diwarisi anak cucu di kemudian hari.

* Pelbagai pihak di Sabah terus tampil ke hadapan menggesa Malaysia bertindak tegas berhubung isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Di Tawau, 12 pertubuhan bukan kerajaan, NGO mahu Wisma Putra memanggil Duta Filipina di Kuala Lumpur bagi menjelaskan perkara tersebut.

Menurut NGO berkenaan, Filipina telah bertindak bertentangan dengan semangat ASEAN dan prinsip asasnya kerana melanggar kedaulatan Sabah serta mencetuskan provokasi.

31st. August 2020.