Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 31 Mei 2020

Bersama Hikma Juni.

* Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata bilangan kes Covid-19 yang semakin berkurangan di Sabah bukan petanda pandemik itu sudah berakhir.

Sebaliknya ia adalah kesan daripada amalan norma baharu oleh orang ramai.

Beliau memberi ingatan kes jangkitan tempatan Covid-19 di Sabah boleh menular semula sekiranya orang ramai tidak lagi mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Tegasnya, virus Covid-19 masih berada dalam kalangan masyarakat kerana Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih melaporkan kes-kes sporadik, iaitu kes yang tidak diketahui asal-usul dan punca jangkitan.

Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk menerapkan norma-norma baharu seperti penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan dengan sabun, elak bersentuhan dan menutup mulut ketika bersin atau batuk sebagai amalan gaya hidup yang baru.

Semalam dan hari ini, tiada laporan kes positif baharu di Sabah dan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini kekal 346 kes.

Sementara itu, satu lagi kes orang awam didapati ingkar perintah kuarantin di rumah dilaporkan di daerah Tuaran dan individu terbabit telah diberikan surat amaran oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Datuk Dr Christina Rundi  menasihatkan setiap individu yang diarahkan untuk dikuarantin agar melaksanakan perintah ini dengan penuh tanggungjawab.

* Balu kepada mangsa pertama wabak Covid-19 di Sabah, Mohamad Bartuk, 58 tahun, yang meninggal dunia di Hospital Besar Tawau pada 20 Mac lalu, layak menerima faedah bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial, PERKESO bermula pada bulan sama.

Ketua Jabatan, PERKESO Tawau, Joseph Immanuel berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, balu mangsa memenuhi syarat kelayakan menerima faedah berkenaan di bawah Skim Keilatan PERKESO.

Mangsa antara peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang menjadi pesakit pertama yang disahkan positif Covid-19 di Sabah.

Mangsa meninggalkan isteri Junaidah Kahar, 50, dan lima orang anak berumur antara 12 hingga 28 tahun.

* Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengiring masuk 16 individu ke Tawau dari Indonesia yang terkandas di Tarakan dan Nunukan selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten V Siva Kumar berkata 10 daripadanya warga tempatan manakala selebihnya warga Indonesia.

Mereka dibawa menggunakan dua bot yang disediakan khas oleh Konsulat Republik Indonesia dari sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada jam 2.30 petang dan tiba di Terminal Feri Tawau, satu jam kemudian.

Turut mengiringi kumpulan berkenaan Pasukan Polis Marin.

Sebaik selesai urusan dokumentasi di terminal feri, 16 individu terbabit dihantar ke Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau untuk dikuarantin selama 14 hari.

* Tanggal 31 Mei, adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan masyarakat Sabah dimana acara kemuncak iaitu pertandingan ratu cantik Pesta Kaamatan, Unduk Ngadau diadakan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, KDCA di Penampang.

Bagi Unduk Ngadau 2019, Francisca Ester Nain, 26, biarpun tiada sambutan Pesta Kaamatan di KDCA tahun ini lantaran pandemik Covid-19, namun semangat Kaamatan masih boleh disemarakkan melalui platform online.

Semangat dari kisah legenda pengorbanan Hominodun yang sanggup berkorban demi menyelamatkan penduduk dunia yang diancam kebuluran ketika itu, masih boleh diterjemahkan dalam situasi yang dihadapi sekarang iaitu berkorban dengan tidak meraikan Pesta Kaamatan secara besar-besaran demi kesejahteraan manusia sejagat.

Francisca berkata, walaupun tidak dapat berkumpul di Hongkod Koisaan, KDCA bagi menyambut Pesta Kaamatan, masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus, KDMR masih boleh berkongsi mesej dan gambar dengan memakai baju tradisi dalam media sosial media bagi menyemarakkan sambutan Kaamatan.

7 peserta top 7 Unduk Ngadau tahun lalu telah berkongsi aktiviti Unduk Ngadau melalui rakaman video seperti cabaran menyerahkan mahkota atau Pass Crown Challenge menerusi media sosial.

* Satu lagi pendekatan yang kian popular untuk menyemarakkan sambutan Kaamatan di media sosial adalah menerusi virtual choir atau koir maya.

Sejak akhir akhir ini, pelbagai pihak tampil dengan lagu Kaamatan yang dinyanyikan secara individu dari rumah atau studio masing masing, sebelum digabungkan menjadi koir maya dan dikongsi di media sosial.

Antaranya kumpulan penyanyi berkumpulan popular Sabah, Male-Efficient serta Sukod Wagu Official.

* Selepas lebih dua bulan tidak beroperasi akibat Perintah Kawalan Pergerakan, PKP sejak 18 Mac lalu, peniaga dan penjaja kecil di pasar tamu mingguan Gaya Street di Kota Kinabalu, kini boleh menarik nafas lega apabila aktiviti perniagaan di lokasi popular dalam dan luar negara itu, dibuka semula hari ini.

Sejak berdekad lalu, tamu mingguan Gaya Street yang mula dikunjungi orang ramai seawal 6 pagi pada setiap Ahad, menjadi antara destinasi tarikan pelancong asing di Sabah kerana warna warni kepelbagaian etnik dan budaya serta beraneka jenis produk yang dijual di sini.

Meskipun telah dibuka semula, wajah Gaya Street tidak seperti dahulu kerana tiada lagi kelibat pelancong asing di sini lantaran dunia masih berperang dengan pandemik Covid-19.

Antara langkah pencegahan diambil adalah memastikan gerai peniaga dijarakkan sekurang kurangnya 2 meter.

Hanya 60 orang dibenarkan berada di kawasan tamu mingguan ini pada satu satu masa.

Hari ini, hanya 69 gerai jualan dibuka dan gerai menjual makanan dan minuman belum dibenarkan beroperasi sepertimana prosdur operasi standard ditetapkan Persatuan Peniaga Dan Penjaja Gaya Street.