Bersama Salbinous Saribun.
* Dua taman marin di Sabah iaitu Teluk Darvel di Lahad Datu dan Taman Marin Terumbu Mantanani di Kota Belud, sedang dalam proses untuk diwartakan bagi melindungi biodiversiti marin di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata kementeriannya komited untuk memastikan ekosistem habitat terumbu karang terus terpelihara demi menjamin aspek keselamatan makanan, sara hidup mampan dan pembangunan ekopelancongan di perairan dan kepulauan Sabah.
* Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, PKPP ketika ini masih tidak membenarkan kemasukan pelancong luar ke Sabah.
Atas sebab itu, industri pelancongan hanya bergantung kepada sokongan pelancong tempatan yang dibenarkan melancong mengikut 6 zon ditetapkan.
Sehubungan itu, kebenaran melaksanakan gelembung perjalanan adalah peluang keemasan bagi industri pelancongan di negeri ini.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh [email protected] Island Resort & Spa yang kini menawarkan pakej promosi menarik bagi pelancong tempatan dengan mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ketat.
* Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan cadangan untuk membawa masuk pelancong dari Singapura ke Kota Kinabalu menerusi kaedah gelembung perjalanan atau travel bubble selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafri Ariffin berkata buat masa ini, kementeriannya sedang menunggu keputusan Kabinet Negeri untuk memberi kebenaran berhubung cadangan itu.
* Kira-kira 7,000 pelajar daripada 60 sekolah dalam Parlimen Beluran menerima bantuan Program Balik Ke Sekolah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan, NAFAS, semalam.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata NAFAS menyediakan peruntukan RM580,000 pada tahun ini untuk pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat , CSR.
* Tiga kawasan di Tawau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD bermula esok sehingga 14 April, berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan yang terlibat ialah Kampung Ranggu Batu 10, Balung, Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Baru Pasir Putih, Sri Tanjung.
Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, kembali meningkat dengan 69 kes dilaporkan hari ini berbanding 41 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 767 kes.
Satu kes kematian dilaporkan di Sabah, hari ini iaitu di Hospital Tawau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata dua kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Kampung Baru Pasir Putih di Tawau dengan 8 kes kumulatif dan Kluster Kampung Rimbayan, Keningau dengan 15 kes kumulatif.
Kluster berpunca daripada majlis pengebumian di Kampung Rimbayan, Keningau yang dihadiri oleh kaum keluarga, jiran dan sahabat handai.
Daerah Tawau merekodkan kes positif baharu tertinggi dengan 24 kes hari ini.
* Helikopter Fennec milik TLDM ditugaskan untuk
membawa bekalan vaksin COVID-19 untuk kegunaan 936 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada warga TLDM.
Vaksin Pfizer-BioNTech itu dihantar ke Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan, Rejimen 516 Askar Wataniah dan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 di Kem Kukusan Tawau serta ke Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan Semporna, Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja, RAMD di Kem Kinabatangan, Sandakan serta Batalion ke-7 RAMD di Kem Kabota Tawau.
* Jabatan Ketua Menteri, JKM Sabah akan membantu mencari jalan penyelesaian berhubung masalah bekalan air di University Apartment, dalam masa terdekat.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Roland Chia berkata, pihaknya menyedari masalah air di kawasan itu sudah berlanjutan sejak beberapa minggu lalu dan menjejaskan lebih 5,000 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan.
Untuk penyelesaian awal, 10 lori tangki air yang akan menjalankan kerja-kerja membekal air di kawasan itu, disediakan, bermula esok.
* Sementara itu, Kerajaan Persekutuan diminta tampil untuk membantu menyelesaikan masalah air yang menjejaskan lebih 5,000 penduduk di kawasan Sepanggar, sejak beberapa bulan lalu.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia, Pembela, Datuk Seri Mohd Jeffry Rosman berkata perkara ini sudah dirujuk kepada Jabatan Air Negeri Sabah, JANS.
* Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM masih relevan kerana rakyat terutama di Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE amat memerlukan agensi itu untuk mengekal dan meningkatkan tahap keselamatan demi kesejahteraan hidup mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata sejak penubuhan ESSCOM lapan tahun lalu, rakyat Sabah berasa lebih selamat dengan kewujudan agensi itu yang jelas menggalas peranan cukup besar dalam mengekang sebarang ancaman termasuk jenayah rentas sempadan.
31st March 2021.