Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 31 Disember 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Agensi serta jabatan berkaitan perlu memainkan peranan memantau status daging import halal ke negeri ini bagi memastikannya benar-benar halal untuk kegunaan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dilakukan setakat ini mendapati tiada isu kartel daging di Sabah, bagaimanapun beliau meminta semua pihak terlibat supaya terus melakukan pemantauan terhadap isu berkenaan.

* Noorliza Awang Alip, wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kota Kinabalu, bertekad untuk bekerja sebagai satu pasukan bersama warga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK untuk menunaikan tugas dan tanggung jawabnya dengan berkesan dalam memenuhi kehendak dan aspirasi penduduk kota.

Noorliza, 55 tahun yang menggantikan Datuk Nordin Siman sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu mulai esok, mengakui tugasan yang bakal dipikulnya bukan mudah dan berdepan pelbagai tekanan.

* Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata penurunan kadar jenayah di negeri ini tidak mempunyai kaitan dengan pertukaran kerajaan ataupun disebabkan oleh mana-mana parti politik.

Sebaliknya penurunan daripada 5,627 kes sepanjang tahun 2019 kepada 3,758 kes tahun ini lebih menjurus kepada penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP yang dikuatkuasakan.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat buat hari ketiga berturut-turut dengan 299 kes dilaporkan hari ini berbanding 280 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 37, 040 kes.

Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata daerah Kinabatangan dan Tambunan bertukar dari zon jingga ke zon merah.

Manakala daerah Tongod bertukar dari zon kuning ke zon hijau.

164 pesakit di Sabah telah sembuh hari ini manakala 1,687 pesakit masih menerima rawatan.

Setakat ini, 309, 255 bakul makanan telah diagihkan.

* Kehidupan mewah dua penganggur lelaki tempatan akhirnya terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan selepas didapati mendalangi rangkaian pengedaran dadah, kelmarin.

Dalam operasi jam 6.35 petang di sekitar kawasan Lido Four Seasons Residence, Kota Kinabalu, kedua-dua lelaki berusia 28 dan 38 tahun terbabit ditahan bersama syabu seberat 16,745.08 gram bernilai hampir RM670,000 di dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

31th December 2020.