Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30th March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan Sabah memutuskan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah di seluruh negeri diaktifkan bermula hari ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata ketetapan itu bagi memastikan langkah awal dapat diambil sekiranya berlaku pertambahan kes secara mendadak.

Katanya, pusat kawalan itu juga berfungsi untuk memastikan semua bantuan yang diagih-agihkan kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, beberapa langkah lain turut diambil hari ini antaranya tidak membenarkan mana-mana restoran makanan segera daripada beroperasi 24 jam selepas ada permohonan dikemukakan.

Katanya, Kerajaan Sabah tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan pekerja-pekerja di restoran tersebut untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada Covid-19.

Ketua Menteri hari ini turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM1 juta masing-masing kepada Jabatan Kesihatan dan semua agensi keselamatan di Sabah yang terlibat sebagai pasukan barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Peruntukan tersebut merupakan dana RM10 juta yang disediakan kerajaan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah untuk menyediakan bekalan makanan kepada semua petugas yang terlibat secara langsung berdepan virus berkenaan.

* Selepas Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bernilai RM670 juta yang diumumkan 25 Oktober lalu , Pakej Rangsangan Ekonomi untuk negeri Sabah dijangka diumumkan oleh Ketua Menteri yang akan membantu memulihkan semula ekonomi Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan, PKP berakhir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, Pakej Bantuan Covid-19 Sabah yang telah diumumkan minggu lalu, lebih kepada bantuan kepada golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Namun, Pakej Rangsangan Ekonomi yang akan diumumkan Ketua Menteri akan dapat merancakkankan semula ekonomi di negeri ini.

* Bantuan secara one-off yang diberikan Kerajaan Sabah menerusi Pakej Bantuan Covid-19, meringankan bebanan rakyat sepanjang tempoh PKP.

Antara yang mensyukuri bantuan berkenaan adalah golongan B40 di bandar raya Kota Kinabalu dimana kos sara hidup adalah tinggi.

* Empat kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 201 kes.

Sabah negeri keempat tertinggi merekodkan kes positif covid-19 selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Dengan 3 kes kematian dilaporkan hari ini, jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19  di negara ini meningkat kepada  37 kes.

Sebanyak 156 kes baharu Covid-19 dilaporkan  hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia  sebanyak 2,626 kes.

* Main sepak takraw dan melakukan aktiviti sabung ayam.  

Itu antara perkara dilakukan orang ramai di Sabah yang membawa kepada 40 tangkapan kerana ingkar dengan arahan untuk duduk di rumah sepanjang PKP.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pelbagai alasan digunakan untuk keluar dari rumah termasuk satu kes apabila seorang warga emas ditahan di Ranau kerana melakukan aktiviti sabung ayam.

Katanya, semalam, sembilan belia turut ditahan di Kampung Melapi, Telupid kerana bermain sepak takraw pada waktu petang sedangkan arahan sudah dikeluarkan melarang mereka keluar dari rumah.

Katanya, secara keseluruhan tahap pematuhan rakyat Sabah kepada PKP mencapai tahap 95 peratus iaitu pencapaian yang sangat baik.

Menurut beliau, daerah Kota Belud mencatatkan peratusan tertinggi kepada pematuhan perintah tersebut berbanding negeri-negeri lain.

* Anda duduk rumah, kami datang hantar keperluan harian anda sehingga depan pintu rumah.

Koperasi Pembangunan Desa, KPD mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian sehingga ke pintu rumah pengguna sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April.

Barangan keperluan seperti beras tempatan, ayam segar dan beku, ikan talapia, cendawan, madu lebah dan pamelo mahupun susu segar Eco Yap kini boleh ditempah melalui Whatsapp dan telefon di KPD Kota Kinabalu dengan tempahan minimum sebanyak RM50.

* Di Kiulu, seorang pemimpin muda yang bersimpati dengan kesukaran hidup ditempuh penduduk kampung akibat penguatkuasaan PKP, mengambil inisiatif menggunakan elaunnya sebagai Pengerusi  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, MPKK untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada 21 keluarga yang serba kekurangan.

Jainysius Sipan, 25 tahun,  Pengerusi MPKK Kampung Bambangan Lama Ulu, Kiulu yang merangkumi Kg Bambangan Lama dan Kg Baraba, menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dibantu 3 sahabatnya dalam misi kemanusiaan itu.

Menurut Jainysius yang juga pengerusi MPKK termuda di Kiulu, beliau melakukan usaha itu atas rasa keinsafan dan rendah hati, untuk menghulurkan bantuan sedaya yang mampu.

Pakej sumbangan yang disampaikan Jainysius adalah berupa makanan dalam tin, kopi, gula, tepung, biskut dan makanan segera, kesemuanya dibeli menggunakan elaunnya.

* Kesukaran yang dihadapi masyarakat di pedalaman Sarawak sepanjang tempoh

PKP terus mendapat perhatian.

Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu dan Jawatankuasa Masjid

Assyakirin Bintulu tampil menghulurkan sumbangan untuk penduduk di Kampung Labang, Bintulu dan masyarakat Orang Ulu di Penempatan Semula Bakun, BRS,  Sungai Asap, Belaga.

* Semakin banyak pihak  kian peka mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan langkah pencegahan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Di Limbang, pasar di bandar itu tidak lagi dipenuhi orang ramai untuk membeli belah seperti sebelum ini.

Sabtu lalu, Residen Majlis Daerah Limbang, Ahmad Denney berkata Pasar Limbang yang sebelum ini ditutup kini dibenarkan beroperasi semula namun terhad antara 7 pagi hingga 11 pagi sahaja.

Di Miri, Majlis Perbandaran Miri melakukan kerja pembersihan dan nyah kuman setiap hari di pasar basah bandar itu.