Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30th July 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal dalam sidang akhbar khas pagi ini.

Beliau berkata, pembubaran itu telah dipersetujui Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Untuk itu, pilihanraya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Terdahulu Ketua Menteri mengadap Tun Juhar di Istana Negeri selama kira kira setengah jam, pagi tadi.

Ini disusuli pertemuan tertutup bersama Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen kerajaan Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Menurut Ketua Menteri, melihat kepada perkembangan politik semasa, sudah tiba masanya untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat Sabah, melalui pilihanraya.

Pilihan raya negeri yang akan ditentukan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, melibatkan 73 kerusi DUN berbanding 60 kerusi pada 2018.

13 kerusi baharu itu adalah Pintasan; Pantai Dalit; Darau; Keramat; Limbahau; Tulid; Bengkoka; Bandau; Telupid; Sungai Manila; Lamag; Segama dan Kukusan.

* Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie menegaskan beliau masih Ketua Menteri Sabah yang sah sehingga tarikh hari mengundi pilihan raya negeri yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR kelak.

* Dalam sidang media itu, Ketua Menteri berkata mandat rakyat dan negeri Sabah perlu dipertahankan walau seberat mana sekalipun tekanan yang diberikan.

Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata, sudah banyak yang dilakukan dan diperjuangkan oleh kerajaan pimpinan Warisan yang memerintah hari ini.

Ketua Menteri turut yakin orang Sabah dapat menilai tindak tanduk Ahli Dewan Undangan Negeri yang kerap melompat parti semata mata untuk mengejar kedudukan.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar bertenang bagi menghadapi cabaran sementara menanti pengumuman tarikh Hari Mengundi daripada SPR dalam tempoh 60 hari, bermula hari ini.

* Pembubaran Dewan Undangan Negeri yang diumumkan pagi tadi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal memusnahkan harapan Tan Sri Musa Aman untuk membentuk kerajaan baharu.

Sekaligus, cubaan rampasan kuasa bagi menjatuhkan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah, gagal.

Ketua Menteri berkata, tekanan politik yang dilakukan pihak-pihak dari Kuala Lumpur yang kerap datang ke Sabah mendorongnya membuat keputusan meminta perkenan Yang diPertua Negeri bagi membubarkan DUN Sabah.

* Bagi wakil rakyat kerajaan, pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah yang diambil Ketua Menteri adalah tindakan sebaiknya dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

Ini kerana masih ada pihak yang tidak berhenti untuk membeli wakil rakyat hingga ke saat ini.

Mereka juga sudah bersedia menghadapi pilihan raya, untuk mendapatkan semula mandat rakyat.

* Parti Keadilan Rakyat, PKR memecat ADUN Inanam, Kenny Chua Teck Ho daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta ¹kerana terbabit dengan gerakan menjatuhkan Kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie.

Turut diambil tindakan sama, ADUN dilantik yang juga Bendahari DAP Sabah, Ronnie Loh Ee Eng.

* Polis Sabah hari ini, menafikan mesej tular kononnya meminta orang ramai jangan keluar ke bandaraya Kota Kinabalu kerana tidak selamat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, mesej itu adalah tidak benar, sebaliknya keadaan di
Kota Kinabalu adalah tenang dan terkawal.

30th July 2020.