Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30 September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memulakan tugas rasmi di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Beliau dijadual menghadiri beberapa pertemuan hari ini antaranya dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selain beberapa mesyuarat dan perbincangan.

* Turut memulakan tugas rasmi pagi tadi, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau tiba di pejabat Kementerian Kerja Raya di Jalan Sembulan, Kota Kinabalu sebelum mengetip kad perakam waktu pada pukul 9.57 pagi.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Richard Jomiji Kinsil bersama warga kementerian itu.

* Dalam sidang medianya selepas itu, Datuk Bung berkata pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo akan diperincikan agar proses pembinaannya dapat dipercepatkan.

Katanya, perincian itu perlu kerana perkembangan pelaksanaan projek itu baru mencecah sekitar 20 peratus dan jika dibandingkan dengan Sarawak yang sudah mencapai 50 peratus siap, Sabah agak jauh ketinggalan.

Mengenai pembinaan Empangan Papar, beliau mahu mendengar taklimat lanjut daripada Jabatan Air Negeri Sabah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

* Seorang nelayan warga Indonesia dikenali sebagai Laa Baa yang diculik bersama empat yang lain oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Tambisan, Tungku, Lahad Datu, Januari lalu, ditemukan terbunuh di Patikul, Sulu, Filipina, semalam.

Kejadian berlaku pada 28 September sewaktu misi menyelamat lima mangsa culik oleh Tentera Filipina.

* 35 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, manakala satu lagi kes dicatatkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Kesesakan turut dilaporkan di pintu masuk Labuan apabila ribuan penduduk kembali ke pulau itu selepas mengundi pada Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua individu yang pulang dari Sabah, agar menjalani ujian saringan COVID-19 di pintu-pintu masuk seluruh negara, sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan peningkatan kes COVID-19 di Sabah.

* Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Wong Foo Tin berkata semua kenderaan dari zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak dilarang memasuki ke daerah Sandakan sehingga keadaan terkawal.

Dalam satu kenyataan, Wong berkata kenderaan yang membawa barangan keperluan dikehendaki menjalani ujian swab di pintu masuk ke daerah itu.

Menurut Wong, sekatan jalan raya itu dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan selama 24 jam setiap hari di Batu 32, Ulu Dusun iaitu pintu masuk ke Sandakan.

30 September 2020.