Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30 Mei 2020

Bersama Aza Minis Liashin.

* Penampang menjadi daerah terbaharu dan ke 19 di Sabah yang tidak merekodkan sebarang kes positif Covid-19.

Daerah itu merekodkan 12 kes setakat ini dan satu kes terakhir telah pulih hari ini.

Setakat ini, hanya tujuh daripada 26 daerah di Sabah masih merekodkan kes aktif dengan bilangan kes aktif  sebanyak 24 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, tiada sebarang kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini dan bilangan kes yang pulih sebanyak sembilan kes menjadikan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini  sebanyak 326 kes.

Kes kematian di Sabah kekal dengan lima kes.

* Sembilan pelajar Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia dan Sarawak disahkan positif Covid-19, setakat semalam yang dikesan melalui pengambilan sampel di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu melalui Program Jom Balik negeri Sabah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga telah melaksanakan saringan bersasar dalam kalangan pelajar dan pelatih yang terkandas di 36 institusi yang telah dikenalpasti di seluruh negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Dr Christina berkata 1 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Tawau semalam dikategorikan sebagai kes tempatan kerana dikesan melalui program saringan khas.

Manakala, 1 kes baharu yang dilaporkan di Kota Kinabalu pula merupakan kes import B yang dikesan melalui sampel yang diambil di pintu masuk Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kedua-dua kes ini melibatkan lelaki warga tempatan dan  telah dimasukkan ke hospital berpakar di daerah masing-masing.

Pengesanan kontak kedua-dua kes sedang giat dilakukan oleh Pejabat Kesihatan yang terlibat.

Dua kes itu adalah kes terbaharu yang dilaporkan di Sabah semalam menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat kepada 346 kes.

* Kedegilan membawa padah bagi seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang ingkar dengan perintah menjalani kuarantin di rumah di Kampung Cenderakasih, Kota Kinabalu.

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 ke atas lelaki berkenaan dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan polis telah dibuat pada 19 Mei lalu kerana lelaki berkenaan didapati tidak berada di rumahnya ketika petugas kesihatan melakukan pemeriksaan Orang Kena Perintah Pengawasan dan Pemerhatian kuarantin.

Lelaki berkenaan dipercayai berada di lokasi baharu iaitu di Kampung Inderasan Laut, Kudat.

* Saban tahun, pekarangan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, KDCA, di Penampang menjadi tumpuan ribuan pengunjung termasuk pelancong, sempena kemuncak sambutan Pesta Kaamatan  yang berlangsung pada 30 dan 31 Mei.

Pelbagai acara berunsur kebudayaan memeriahkan sambutan dua hari itu dengan kemuncaknya ialah pemilihan Unduk Ngadau atau Ratu Pesta Kaamatan yang menjadi simbolik kisah legenda

pengorbanan seorang gadis bernama Huminodun kepada masyarakat Kadazandusun di zaman lampau.

Kaamatan dirayakan sebagai tanda kesyukuran masyarakat Kadazandusun dan Murut, KDM atas hasil padi yang dituai, dengan pengisiannya kepada acara kesenian dan kebudayaan diwarisi nenek moyang mereka.

Hongkod Koisaan yang menjadi lokasi kemuncak sambutan Kaamatan setiap tahun, lazimnya diserikan dengan hiasan berunsur padi serta budaya berkaitan warisan tradisi masyarakat KDM sejajar pengertian

perayaan itu bagi masyarakat berkenaan.

Namun pandemik COVID-19 mengubah segala galanya.

Kerajaan negeri membuat keputusan  sambutan Kaamatan tidak diadakan di KDCA tahun ini.

Sekaligus tiada kelibat pertandingan

Unduk Ngadau dan  nyanyian lagu-lagu Kadazan Dusun atau Sugandoi yang menjadi antara dua acara utama yang paling ditunggu-tunggu rakyat Sabah setiap kali ketibaan Pesta Kaamatan.

Namun, perkara itu tidak menghalang masyarakat KDM untuk menyambut perayaan itu secara sederhana di  kediaman masing-masing.

Laporannya bersama Jennifer Tugung Michael.

* Tujuh lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes penipuan ‘Macau scam’, menyebabkan seorang wanita kerugian RM355,000 berjaya ditahan.

Semua suspek berusia antara 26 hingga 51 tahun ditahan di beberapa lokasi di Sandakan dengan tangkapan dibuat sejak tiga hari lalu.

Penahanan mereka dibuat apabila seorang wanita berusia 46 tahun yang menyedari diperdaya membuat laporan polis pada 14 Mei lalu di Balai Polis Sandakan.

Mangsa yang juga kerani syarikat swasta dilaporkan diperdaya pada 27 April lalu menerusi panggilan telefon yang mendakwa mangsa melakukan kesalahan dengan mengirim barang yang tidak dibenarkan melalui pos.

Mangsa kemudiannya diminta berhubung dengan Balai Polis Ipoh dan diminta memasukkan sejumlah wang ke beberapa akaun untuk menyelesaikan kes.

* Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Kudat berjaya merampas 3,321 liter petrol yang cuba diseleweng dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM104,883.74, di sebuah stesen minyak, di Kota Marudu, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kudat, Geoffrey Gumalang berkata, kesemua petrol itu dimuatkan dalam tong drum muatan 200 liter setong yang ditempatkan dalam sebuah lori 3 tan dan juga dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Rampasan itu berjaya dilakukan susulan risikan dan siasatan yang dibuat berikutan aduan penyelewengan bahan api petroleum bersubsidi yang dilakukan oleh pembeli yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan dan salah laku pengusaha stesen minyak.

* Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas rokok kretek dipercayai diseludup bernilai hampir RM300,000 termasuk cukai di dua lokasi berasingan sekitar Tawau dan Sandakan, dalam Ops Benteng, 2020, kelmarin.

(Visited 1 times, 1 visits today)