Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30 March 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Kerajaan Sabah menyediakan bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM2,000 seorang kepada pelajar dari negeri ini yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi IPT.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Bantuan Tunai Pendaftaran IPT, BUDI itu disediakan mulai tahun ini dalam usaha meringankan beban keluarga kurang berkemampuan membiayai kos pendidikan anak masing-masing.

Bagi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, BAKTI, katanya sebanyak RM200 seorang akan diberikan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

* Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional, PN pada Pilihan Raya Umum ke-15, PRU-15 adalah pilihan parti itu sendiri dan tiada apa yang boleh dilakukan Bersatu berhubung keputusan itu.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee turut menyifatkan keputusan itu sebagai hak UMNO untuk menentukan halatuju politik mereka menjelang PRU-15.

Sementara itu, Bersatu Sabah menyambut baik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membuat ketetapan UMNO Sabah kekal pendirian untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah, GRS demi pembangunan walaupun UMNO pusat berhasrat bergerak bersendirian pada PRU -15.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan berkata fokus utama kerajaan GRS kini adalah memastikan segala perancangan untuk pembangunan negeri dan rakyat disegerakan.

* Sasaran untuk mencapai kemenangan dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-15, PRU15 memerlukan sokongan padu daripada Sabah dan Sarawak.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, sasaran asas untuk mencapai kemenangan dua pertiga dalam PRU-15 akan datang sangat penting agar lebih banyak program pembangunan dapat dirancang.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN dilantik berkata, Sabah dan Sarawak tetap penting dalam apa sahaja keputusan sama ada berkaitan pilihan raya atau hal ehwal pembangunan negara.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, kembali meningkat dengan 41 kes dilaporkan hari ini berbanding 34 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 698 kes.

Tiada kes kematian dilaporkan di Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata dua kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini iaitu Kluster Semarak di Tawau dengan 6 kes kumulatif dan Kluster Ranggu juga di Tawau dengan 8 kes kumulatif.

Daerah Tawau merekodkan kes positif baharu tertinggi dengan 23 kes hari ini.

Setakat hari ini, secara kumulatif 42, 336 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama di Sabah.

Manakala bagi vaksin dos kedua, secara kumulatif 14,403 orang telah menerima suntikan hari ini.

* Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, JPSM diharap dapat menyegerakan pembangunan Kampus JPSM di Mesilou Kundasang, Ranau.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, pembangunan kampus itu akan dapat menambah bilangan belia untuk menjalani latihan dalam bidang kemahiran.

30th March 2021.