Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30 June 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Sayap Pemuda 4 parti kerajaan Sabah, sebulat suara menyokong cadangan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal sebagai pemimpin Borneo pertama menjadi calon Perdana Menteri.

Wira Parti Warisan Sabah, Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik, DAPSY, Pemuda AMANAH Sabah dan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu UPKO melihat cadangan pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri satu peluang terbaik untuk mengembalikan autonomi Sabah dan Sarawak.

* Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, di Sabah menurun kepada 428 orang 4 petang tadi berbanding 705 orang,  8 pagi tadi.

Lebih ramai keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir di kawasan mereka semakin pulih.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam, Sabah, Kamal Mokhtar berkata, setakat 4 petang tadi, semua 3 pusat pemindahan banjir di Penampang, 3 di Kota Belud, lima di Tenom, dan 1 di Papar, telah  ditutup.

428 penduduk yang masih ditempatkan di 5 pusat pemindahan itu terdiri daripada 133 keluarga dari 152 buah kampung di daerah Kota Belud, Papar, Beaufort dan Tenom.

* Kunjungan Ketua Menteri ke pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud semalam, membawa makna yang amat besar bagi penduduk kampung yang menjadi mangsa bencana alam itu.

* Satu kertas cadangan penubuhan majlis perundingan antara penggiat industri kayu kayan, pihak kerajaan serta agensi-agensi yang berkaitan akan dibentangkan di kabinet negeri dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penubuhan itu bertujuan untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam sektor industri yang berasaskan kayu.

* Sebuah jambatan baru sedang dalam proses pembinaan bagi menggantikan low level crossing di Jalan Pomotodon, Kota Belud yang rosak berikutan hujan lebat beberapa bulan lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, Jabatan Kerja Raya, JKR Kota Belud telahpun melantik kontraktor dan kerja-kerja awal sedang dilaksanakan.

Datuk Ewon berkata beliau akan terus memantau beberapa lagi kerja membaikpulih, membina baharu atau menyelenggara jalan dan jambatan di bawah JKR, dalam kawasan DUN Kadamaian.

* Keretakan pada bahagian bawah Jambatan Papar akibat banjir Sabtu lalu, tidak akan menyebabkan struktur tersebut runtuh.

Pengarah Jabatan Kerja Raya, JKR sabah, Datuk Richard Jomiji berkata, keretakan itu hanyalah impak daripada banjir dan hakisan yang berlaku.

Datuk Richard berkata demikian bagi menjawab mesej dan klip rakaman suara yang tular di media sosial sejak Ahad menyatakan Jambatan Papar mengalami keretakan dan mungkin boleh menyebabkan runtuhan disebabkan hakisan air sungai yang deras.

Struktur jambatan itu masih kukuh dan adalah mustahil untuk jambatan tersebut runtuh.

* Proses pengusiran pendatang asing tanpa izin, PATI, diteruskan.

Seramai 409 PATI warga Indonesia dihantar pulang dari Jeti Feri Tawau ke Nunukan, Indonesia, hari ini menerusi program pengusiran siri ke 19.

* Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah menahan empat lelaki tempatan dan merampas 50 kilogram dadah jenis Syabu atau Methamphetamine dianggarkan bernilai RM2.08 juta.

Semua suspek ditahan di unit pemeriksaan penumpang Lapangan Terbang Sandakan pada 23 Jun lalu selepas pemeriksaan ke atas bagasi mereka.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar, berkata semua suspek yang berusia antara 19 hingga 23 tahun menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur ke Sandakan.