Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 30 Disember 2020

Bersama Hikma Juni.

* Kerajaan Negeri Sabah menerima pembayaran dividen sebanyak RM100 juta daripada 14 agensi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan, GLC negeri.

Jumlah bayaran itu meningkat 67.8 peratus berbanding tahun lalu.

* Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif memberi jaminan bahawa semua daging import yang dibawa masuk ke Sabah tidak berkaitan dengan kartel daging.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, JHEAINS bersama beberapa agensi lain, mendapati semua daging sejuk beku yang diimport ke Sabah adalah halal.

* Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin berkata Majlis Ugama Islam Sabah, MUIS akan menubuhkan hab-halal di Sabah bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan produk-produk halal.

Bagaimanapun perkara ini masih diperincikan sebelum dijangka dilancarkan pada Januari tahun hadapan.

* Aktiviti mandi-manda sempena sambutan tahun baharu yang sudah menjadi budaya di negeri ini serta perhimpunan di tempat awam dan terbuka pada malam ambang 2021, adalah tidak dibenarkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata PDRM Sabah dengan kekuatan 260 pasukan pemantau termasuk Pasukan Gerakan Am dan Unit Peronda MPV di setiap daerah akan melakukan pemantauan prosedur operasi standard, SOP Covid-19 dan rondaan di seluruh Sabah, terutama kawasan tumpuan  orang awam.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat buat hari kedua berturut-turut dengan 280 kes dilaporkan hari ini berbanding 230 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 36, 741 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata empat kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau dan Lahad Datu.

Pesakit terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia di antara 45 hingga 63 tahun.

Daerah Beluran bertukar dari zon jingga ke zon kuning manakala daerah Keningau berubah dari zon jingga ke zon merah. Daerah Tambunan bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

Tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini. 217 pesakit di Sabah telah sembuh hari ini manakala 1,591 pesakit masih menerima rawatan.

30th December 2020.