Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 3 Disember 2019

51

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Misi pelaburan Sabah ke Jepun memasuki hari keempat dengan destinasi seterusnya di Tokyo. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata Sabah akan memanfaatkan sumber mentah sawit yang mencukupi untuk membolehkan negeri ini melabur dalam industri biofuel dan biodiesel menerusi kerjasama dengan syarikat terkemuka Jepun yang pakar dalam  bidang itu. Ketua Menteri turut mengadakan lawatan di kilang pemprosesan biofuel milik Euglena Corporation Limited di Yokohama, hari ini. Euglena adalah syarikat peneraju industri biofuel dan biodiesel Jepun yang menghasilkan minyak mesra alam Green Oil untuk menggerakkan kenderaan, minyak jet serta enzim untuk penghasilan makanan menggunakan bahan mentah daripada sawit serta alga. Datuk Seri Mohd Shafie berkata sekiranya kerjasama dengan Euglena berjaya, nilai pelaburan bersama syarikat itu di POIC boleh mencecah sehingga RM2 bilion dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu, beliau telah mempelawa pemilik Euglena, Mitsuru Izumo untuk datang ke Sabah bagi melihat sendiri peluang pelaburan yang ada dan membincangkan kerjasama yang boleh dijalin.

* Menjelang Pilihan Raya Kecil, PRK, Parlimen P 176 Kimanis, Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Seri Panglima  Haji Mohd. Shafie bin  Haji Apdal mengingatkan semua ahli dan pimpinan parti agar tidak alpa. Sebaliknya mereka perlu bersiap sedia menghadapi PRK itu.

* Mengulas mengenai calon di Kimanis, Datuk Seri  Mohd Shafie berkata ia belum ditentukan kerana beliau perlu mendengar laporan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu. Bagaimanapun, beliau memberi bayangan kemungkinan besar Warisan akan bertanding. Tambahan pula calon parti itu telah diletakkan di Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum ke 14, tahun lalu.

* Sementara itu, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO akan bekerja keras menarik sokongan pengundi kaum Kadazan Dusun dan Murut, KDM untuk menyokong parti Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis yang bakal diadakan. Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, parti itu akan menggerakkan jentera agar setiap rakyat dapat didekati dan memberi sokongan kepada kerajaan.

* Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata SPR hanya akan mengadakan mesyuarat di Putrajaya bagi menetapkan tarikh PRK Kimanis selepas menerima notis pemberitahuan dari mahkamah.

* Datuk Azhar juga berkata pasukan petugas khas yang dianggotai pegawai SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara  akan terus menjalankan pembersihan ke atas daftar pemilih yang disyaki memiliki kad pengenalan tidak sah. Katanya sejak pasukan petugas khas itu ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, sejumlah 16,000 nama telah dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana didapati memiliki kad pengenalan meragukan hingga menyebabkan mereka tidak layak untuk mengundi.

* Sabah mempromosi dengan agresif aktiviti hiliran dalam pembuatan perabot bagi menghasilkan produk nilai tambah dengan kos lebih rendah, bagi memastikan sektor itu kekal kompetitif – Ucapan Ketua Menteri di majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Kayu dan Gentian Bio 2019, di Kota Kinabalu, pagi tadi yang disampaikan menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony.

* Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penjenayah yang menyamar untuk menawarkan sebarang perkhidmatan atau pemeriksaan. Sebaliknya orang ramai diminta menghubungi polis bagi tujuan pengesahan aktiviti pemeriksaan yang dilakukan. Ingatan itu dikeluarkan Ketua Polis Tawau, ACP Peter Umbuas susulan kes seorang wanita yang kerugian RM 1000 selepas disamun sekumpulan 3 penjenayah yang menyamar sebagai pegawai kesihatan, di Batu 6, Tawau, semalam.

* Pelajar SK Kiawayan, Tambunan mengharumkan nama Malaysia di International Istanbul Dance Music and Poetry Festival Competition, di Turki apabila menjuarai kategori Children Folk Dance, juara keseluruhan Istanbul Harmanfolk Culture Competition dan Anugerah Terbaik keseluruhan Istanbul Eurasia Culture Folk Dance.