Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 2nd July 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal meminta Angkatan Tentera Malaysia, ATM turut terlibat membantu agensi-agensi berkaitan membaik pulih rumah penduduk di Kota Belud yang rosak akibat banjir hujung minggu lalu.

Panglima 5 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Hafizudeain Jantan berkata, Ketua Menteri menyampaikan permintaan tersebut kepadanya memandangkan ATM mempunyai kepakaran khusus di dalam Skuadron Kejuruteraan.

Katanya, skuadron tersebut akan turut menghulurkan bantuan membina dua buah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gunding, Kota Belud, baru-baru ini.

* Turut terjejas akibat banjir,  67 pencawang elektrik di empat daerah sehingga menyebabkan gangguan bekalan.

Pemangku Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn. Bhd. SESB, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, tindakan segera pihaknya berjaya memulihkan bekalan di sebahagian besar kawasan yang dilanda banjir.

* Kota Belud antara daerah paling terjejas akibat banjir di Sabah, Sabtu lalu.

Jalan Melangkap, Jalan Purak Ogis, Jalan Bongol, Jalan Tambatuon dan Jalan Pompod di kawasan Kadamaian mengalami kerosakan akibat tanah runtuh.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata Jabatan Kerja Raya, JKR serta syarikat-syarikat konsesi, sedang melaksanakan kerja-kerja membaikpulih laluan berkenaan.

Beliau juga akan menggunakan peruntukan ADUN bagi membantu membaikpulih beberapa kawasan yang berada di luar bidang kuasa JKR dan syarikat-syarikat konsesi mereka.

* Dua lagi kes kolera atau taun dilaporkan di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan kes berkenaan meningkat kepada 21 di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata dua kes berkenaan membabitkan bayi berusia setahun dan warga emas berusia 80 tahun,  dilaporkan di Beaufort dan Semporna, Rabu lalu.

* Demi perjuangan menuntut hak sama rata, pemimpin pembangkang di Sabah perlu bersama-sama menyokong pencalonan Perdana Menteri dari Sabah seperti yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Wira Warisan Papar, Mohd. Fakhurazzi Aliuddin berkata, pemimpin pembangkang Sabah termasuk UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Bersatu Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku perlu mengetepikan fahaman dan ideologi politik dengan menyokong pencalonan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

* Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, JPNS mengambil tindakan segera menyelesaikan isu melibatkan 300 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Entilibon yang tidak mampu membayar tambang van ke sekolah.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin berkata, JPNS akan meminjamkan bas jabatan itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tongod-Telupid untuk mengangkut murid dari asrama ke sekolah.

* Polis berjaya merampas tujuh kontena berisi minuman keras dipercayai tanpa cukai bernilai RM1.9 juta dalam tiga serbuan berasingan minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata tujuh individu termasuk seorang wanita turut ditahan sepanjang serbuan itu.

* Sebanyak 812 barangan elektronik berkaitan mesin judi yang dirampas sepanjang tahun 2005 hingga 2015 dilupuskan di Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen  Sabah, menerusi kaedah E-waste, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, peralatan membabitkan komponen komputer itu berkaitan dengan 13 kertas siasatan kes judi siber di Kota Kinabalu yang sudah selesai.