Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 2nd August 2020

Bersama Hikma Juni.

* Pembubaran Dewan Undangan Negeri, DUN, Sabah adalah sah kerana telah mendapat perkenan Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony berkata, rakyat negeri ini tidak seharusnya dikelirukan oleh segolongan ahli politik yang bertindak menyebarkan maklumat kurang tepat mengenai pembubaran DUN pada 30 Julai lalu itu.

* Sementara itu, Datuk Peter berkata Parti Parti Cinta Sabah, PCS yang aktif semula dan diketuai bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman adalah satu daripada taktik parti lawan untuk memecahkan undi dalam kalangan etnik terutama Kadazan Dusun Murut, KDM.

* Rumahnya pernah diketuk ejen politik di pagi buta ketika kebanyakan penghuni bumi masih lena diulit mimpi, bagi memujuknya untuk keluar parti dengan tawaran tertentu.

Yang dimaksudkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Elopura, Calvin Chong.

Namun kini dengan identiti si pengkhianat parti sudah diketahui umum, Calvin berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM sepatutnya menyiasat wakil rakyat yang sebelum ini mengaku ditawarkan habuan dan kini telah melompat parti beramai-ramai sehingga DUN Sabah dibubarkan.

Tegasnya, persoalan tidak sepatutnya timbul terhadap wakil rakyat Kerajaan Sabah yang tidak membuat laporan kepada SPRM selepas mendakwa dikunjungi ejen-ejen politik untuk melompat parti.

* Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Junz Wong berkata pertembungan antara komponen Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri sememangnya sukar dielak.

Apapun, Junz mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan budaya parti itu dan menolak amalan lompat parti untuk merampas kuasa yang membelakangkan mandat rakyat.

* Sementara itu, UMNO Sabah nampaknya bersedia untuk berlembut dengan Bersatu Sabah dalam agihan kerusi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah dan Barisan Nasional sedia berunding dengan ‘rakan-rakan’ mereka untuk memastikan semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri DUN, akan ditandingi.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin UMNO Pusat menasihatkan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor agar ‘jangan bermimpi’ untuk bertanding di 45 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung berkata wujud perbincangan untuk wakil rakyat UMNO yang meninggalkan parti itu selepas pilihan raya 2018 untuk kembali kepada UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, namun belum ada keputusan dibuat.

* Ahli politik di Sabah perlu bangun dan berhenti menjadi katak, kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Ahli politik sepatutnya menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh negeri mereka, bekerja keras meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Sabah dan memastikan KDNK negeri ini antara yang tertinggi di Malaysia.

Mohamed berkata politik katak memalukan diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat di  Sabah serta semua rakyat Malaysia. Wakil  yang dipilih adalah pemimpin rakyat, mereka dihormati dan masyarakat menjadikan mereka sebagai teladan.

Namun, tindakan mereka baru baru ini, mendedahkan wajah mereka yang sebenar.
Mereka tidak mempunyai prinsip dan mereka juga mengkhianati puluhan ribu orang yang memilih mereka ke jawatan itu. Ini adalah satu dosa yang tidak dapat dimaafkan.

* Selepas meninggalkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO dan menyertai kem Tan Sri Musa Aman, penyandang kerusi DUN Sugut, Datuk James Ratib masih menunggu tawaran daripada mana-mana parti yang berminat menggunakan khidmatnya untuk mempertahankan kerusi itu.

Katanya, beliau tidak akan bertanding atas tiket Bebas sebaliknya mempertimbangkan jika ada parti yang berminat.

* Dua kes baharu COVID-19 dikesan melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama merupakan pelajar yang tiba dari Sandakan yang akan memulakan pengajian di Labuan.

Manakala kes kedua pula dari Penampang yang datang ke Labuan untuk bercuti bersama keluarga, katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertambahan dua kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 400.

* Tujuh pekerja sebuah pusat pelancongan cedera termasuk dua kritikal dalam kejadian letupan sebuah bot berhampiran Jalan Kastam, di Semporna, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa menjalankan kerja pemindahan petrol dari sebuah tangki minyak bot yang bercampur dengan air sebelum berlaku satu letupan kecil secara tiba-tiba.

2nd August 2020.