Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29th March 2020

Bersama Salbinous Saribun

* China membalas budi baik Kerajaan Sabah yang mewujudkan tabung We Care, We Love yang berjaya mengutip sebanyak RM2 juta  bulan lalu untuk membantu negara tembok besar itu yang ketika itu masih terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

Ketika Sabah pula yang masih bekerja keras memerangi wabak berkenaan, Kerajaan China yang telah berjaya membendung penularan virus itu tampil membalas budi dengan menyumbang kira-kira 170,000 kotak penutup hidung dan mulut, peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan cecair pembasmi kuman.

Sebahagian daripada barangan kesihatan itu tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, 3.10 petang tadi menggunakan penerbangan AirAsia dari Guangzhou, China.

Hadir menyambut ketibaan semua barangan berkenaan adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal; Konsulat Besar China di Kota Kinabalu, Liang Caide; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Junz Wong.

Ketua Menteri berkata, sebahagian lagi barangan yang disumbangkan akan tiba ke Sabah selepas ini yang dapat membantu usaha kerajaan negeri bersama semua agensi di barisan hadapan menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

* Peruntukan RM200 juta dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah akan membantu mempermudahkan proses penghantaran barangan keperluan dapur dan bantuan wang tunai kepada penerima-penerima di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu amat penting bagi memastikan ada peruntukan kecemasan bagi memperbaiki kemudahan yang rosak dan memerlukan pembaikan segera sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP berkuatkuasa.

Beliau berkata, jika ada masalah jalan atau jambatan yang rosak, proses penghantaran bantuan barangan keperluan dapur ke kawasan-kawasan pedalaman tidak akan dapat disalurkan sepanjang PKP ini.

Maka, setelah mengambil kira keadaan itu, Ketua Menteri menyediakan peruntukan RM200 juta itu bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu Datuk Ewon membidas tindakan pembangkang yang mempersoalkan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah.

Tegasnya niat kerajaan adalah untuk membantu rakyat bukan hanya dalam tempoh PKP tetapi juga selepas tempoh itu kerana kerajaan perlu merangsang ekonomi negeri dengan kadar segera apabila tempoh PKP tamat.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pengagihan Elaun Bantuan Khas kepada golongan miskin dan miskin tegar serta golongan yang tersenarai dalam e-kasih, petani, nelayan dan penternak, golongan berpendapatan rendah B40 di negeri ini di bawah peruntukan Pakej Bantuan Covid-19.

Peruntukan kerajaan Sabah itu bertujuan mengurangkan beban rakyat yang terjejas oleh penularan wabak Covid-19 khususnya dalam tempoh PKP sejak 18 Mac lalu.

* Sabah sekali lagi tidak melaporkan sebarang kes baharu positif Covid-19 hari ini.

Dengan itu, jumlah kes di Sabah kekal 197 kes seperti yang dilaporkan semalam.

Pada 25 Mac lalu, Sabah turut tidak merekodkan sebarang kes baharu positif Covid-19.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi menyatakan Sabah berdepan kekurangan reagen bagi menjalankan ujian sampel bagi mengesan kes positif Covid-19 di makmal. Maka, bilangan kes yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar jumlah pesakit positif.

Sehingga kini, 16 daripada 25 daerah di Sabah merekodkan kes positif Covid-19 termasuk satu daerah baharu, iaitu Tambunan dengan kes pertama dilaporkan semalam.

Semalam, statistik menunjukkan Keningau sebagai daerah baharu yang mencatatkan kes Covid-19 namun, kes itu diklasifikasikan sebagai kes di Tambunan.

Tujuh kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 34 kes kematian di seluruh negara.

150 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 2,470 kes termasuk 388 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak 73 kes dirawat di unit rawatan rapi, dan 52 memerlukan bantuan alat pernafasan.

* Enam bot kumpit dari negara jiran yang kini berada di perairan Sabah, empat daripadanya di Sandakan dan dua lagi di Tawau akan diarahkan pulang ke negara asal secepat mungkin sebaik proses dokumentasi selesai.

Langkah itu sejajar arahan menyekat kemasukan semua bot kumpit dari Indonesia dan Filipina ke Sabah untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Selain bot kumpit, bot membawa ikan dan ikan hidup dari Indonesia serta Hong Kong turut disekat untuk memasuki perairan Sabah buat masa ini sehingga arahan lanjut mengenainya dibuat kerajaan.

Komander Pasukan Polis Marin, PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepanjang Op Covid-19 , sebanyak 22 bot ronda telah melakukan operasi dengan kekuatan 320 anggota  di seluruh Sabah bagi menguatkuasakan PKP. PPM mengenal pasti 14 check point iaitu di Labuan, Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Tambahnya PPM juga memfokuskan usaha membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan  kemasukan pendatang asing tanpa izin, PATI.

* 23 rakyat Malaysia diberi kebenaran khas oleh Kerajaan Sabah untuk masuk ke negeri ini menerusi  Pusat  Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan CIQS Tawau.

Mereka terdiri daripada 12  peserta Ijtimak Tabligh di Gowa, Sulawesi, Indonesia serta 11 orang awam. Daripada jumlah itu, seramai 21 orang berasal dari Sabah manakala 2 lagi dari negeri lain di Malaysia.

Bagaimanapun, hanya 18 orang yang telah tiba di Tawau menaiki bot dari Nunukan hari ini. Sebaik tiba di jeti Tawau, kesemua mereka telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin Daerah Tawau selama 14 hari.

Manakala baki lima lagi termasuk 2 kanak-kanak telah membatalkan hasrat mereka untuk balik ke Sabah dan memutuskan untuk tinggal di Nunukan, Indonesia sehingga tempoh PKP berakhir.

* Penduduk di kampung yang belum mendapat bantuan makanan dan keperluan seharian diminta jangan panik kerana proses pengagihan bantuan tersebut dibuat secara berfasa untuk memastikan setiap kampung mendapat bekalan yang secukupnya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan  merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berkata beberapa kawasan di DUN Tanjung Aru seperti Pasir Putih  dan sebahagian  Sembulan  belum mendapat bantuan kerana pihaknya masih menunggu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, MPKK atau wakil kawasan tersebut untuk memberikan senarai rumah.

Semalam, Datuk Junz menyampaikan sebanyak 300 pakej  barangan keperluan asas kepada golongan yang terjejas di kawasan Tanjung Aru Baru.

* Padah ugut potong gaji, dua majikan yang juga adik beradik berumur 47 dan 50 tahun ditahan selepas enam pekerjanya dikesan bekerja seperti biasa di sebuah bengkel perkakasan besi di Jalan Dam, Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tindakan majikan itu melanggar arahan PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

* Polis  menafikan sekeras-kerasnya gambar tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan kononnya beberapa individu di Penampang ditangkap kerana degil dan enggan mematuhi PKP. Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata gambar yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Faizal Hussin bukan di lokap Balai Polis Penampang.

Dalam satu kenyataan media semalam DSP Mohd Haris berkata, pihaknya telah terkesan mengenai penularan beberapa imej yang memaparkan situasi tahanan dalam lokap berkenaan kerana ia menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam dalam situasi ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Katanya Individu yang memuat naik hantaran itu sudah dikenal pasti iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an. Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.