Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29th April 2020

Bersama Salbinous Saribun.

*  Kerajaan Sabah yakin bantuan pakar perubatan dari China akan membantu menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini dengan lebih berkesan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, beliau akan menguruskan agar sistem dan pendekatan terbaik yang telah dilaksanakan di China, seperti  pematuhan langkah pencegahan  diaplikasikan di negeri ini.

Datuk Seri Mohd Shafie menerima kunjungan delegasi pakar perubatan dari China, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, PPNS, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pertemuan itu, pakar dari China berkongsi panduan dan pengalaman ketika negara tembok besar itu berdepan dengan wabak Covid-19 yang kini sudah melanda seluruh dunia dan menjejaskan ekonomi global.

* Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan kilang Projek Ammonia dan Urea Sabah, SAMUR di Sipitang dan Terminal Minyak dan Gas Sabah, SOGT di Kimanis beroperasi seperti biasa bermula esok sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, PKP berkuat kuasa.

Ketua Menteri berkata keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Mengenai pelajar Sabah yang akan balik ke negeri ini bermula Mei ini selepas  terkandas di institusi pengajian masing-masing,  Datuk Seri Mohd Shafie berkata kira-kira 7,000 pelajar akan dihantar balik oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Mereka perlu menjalani saringan di Semenanjung Malaysia dan jika didapati sihat, mereka boleh menjalani kuarantin di rumah masing masing dan bukan di pusat kuarantin.

Terdahulu, kerajaan Sabah turut menerima sumbangan masing-masing 10,000 keping penutup hidung dan mulut N95, ‘Surgical Face Masks’, ‘Nursing Face Masks’, dan 2,500 unit ‘Goggles’ daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia.

Kerajaan Sabah juga menerima 601 buah kotak mengandungi 6,000 helai ‘Protective Medical Coverall’, 6,000 helai gaun isolasi, 24,000 pasang sarung tangan, 12,000 pasang penutup kasut, 6,000 unit Goggles, 56,000 keping penutup hidung dan mulut N95, 6,000 keping pelindung muka, 107,850 keping penutup hidung dan mulut tiga lapisan, dan 6,000 helai penutup kepala daripada KTS Group, serta bungkusan peralatan daripada Mega City Avenue Sdn Bhd, Malaysian Relief Agency (MRA), Mr. DIY Trading Sdn Bhd dan The Edge.

* Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui Majlis Belia Sabah mendengar keluhan  penghantar makanan atau rider yang 90 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia.

Terdapat lebih 500 rider yang terbabit dalam perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan di Sabah dan mereka juga adalah petugas barisan hadapan kerana kerjaya mereka memastikan orang ramai mendapat bekalan makanan.

Namun kebajikan mereka dipinggirkan apabila tidak layak menerima bantuan kewangan e-hailing sebanyak RM500 daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata beliau membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet hari ini untuk membantu golongan berkenaan.

Usaha itu seiring dengan saranan Ketua Menteri yang mahu memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan di negeri ini.

* Usaha membawa pulang pelajar Sabah dari Semenanjung Malaysia bermula semalam apabila sekumpulan pelajar tahfiz menaiki  penerbangan ihsan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM untuk balik ke negeri ini.

Pusat Arahan Covid-19 Sabah memaklumkan, penerbangan ihsan itu diuruskan oleh Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam usaha membawa pulang pelajar tahfiz itu adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara, NADMA dan Jabatan Perdana Menteri.

* Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan mengambil langkah-langkah  untuk mengelakkan penyebaran jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat sebelum

pelajar institusi pengajian tinggi, IPT dari Sabah yang dijangka pulang ke negeri ini

bermula 1 Mei dari Semenanjung Malaysia,

dibenarkan balik ke pangkuan keluarga mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata proses pengambilan sampel dan kuarantin akan dilakukan ke atas pelajar berkenaan.

* Cari ikan untuk sahur, berpusing-pusing di pekan, jumpa kawan, ibu saudara dan beli air dalam mesin antara alasan yang diberikan oleh enam individu termasuk seorang wanita yang ditahan polis di Jalan Membakut Jaya, Beaufort malam tadi, kerana ingkar PKP.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata semua suspek berusia 37 hingga 61 tahun ditahan sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan mengejut Op Covid-19 selama dua jam bermula 8.30 malam tadi.

Terdahulu pada sebelah petang, seorang lelaki berusia 47 tahun yang terbaring di depan sebuah sekolah di Kampung Karangan, Beaufort, akibat mabuk turut  ditahan kerana ingkar PKP.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Filipina berusia 22 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,

ditahan di depan sebuah surau di Kampung Padas Valley, Beaufort semalam atas kesalahan sama.

* Seorang lelaki warga Filipina berusia 48 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin, PPM Sandakan kerana cuba membawa keluar barang kawalan tanpa permit di perairan Inner Bouy Pulau Berhala, petang semalam.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM54,083.

* Di Pitas, 28 orang dari 5 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di Kampung Rosob  pagi tadi.

Kecekapan bomba berjaya menyelamatkan 4 rumah, sebuah masjid, sebuah premis Jabatan Kemajuan Masyarakat dan sebuah rumah burung Walit yang terletak berhampiran daripada turut dijilat api.

* Di Semporna, empat lot kedai runcit musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Pinang Kalumpang pagi tadi.

* Penduduk di Kampung Bokara, Sandakan dikejutkan dengan fenomena belalai air yang merentasi perairan Batu Sapi, awal pagi tadi.

Penduduk mendakwa fenomena alam itu berlangsung selama kira kira 15 minit dan dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 pagi dengan gambar kejadian terbabit yang dirakam orang awam turut tular di media sosial hari ini.