Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29 September 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Pengerusi Perikatan Nasional Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sulaman hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu.

Turut mengangkat sumpah, tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga ADUN Lamag, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR dan ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan ADUN Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah, PBS.

* Dalam sidang media selepas itu, Datuk Seri Hajiji turut mengumumkan pertukaran portfolio antara Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Masidi Manjun.

Bung Moktar dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Kerja Raya manakala Masidi sebagai Menteri Kewangan ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Hajiji berkata beliau memerlukan Masidi yang berpengalaman khususnya dalam membantu beliau untuk  memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi pandemik COVID-19.

* Tiada Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina yang secara tradisinya dilantik dalam kabinet baharu Sabah dan ini langsung tidak mencerminkan simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dalam laman Facebooknya menyatakan, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor boleh melantik ADUN berbangsa Cina dalam kabinetnya, namun lantikan tradisi itu tidak dilakukan dalam Kabinet Negeri Sabah yang baharu.

Semasa pemerintahan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal yang berpegang kepada konsep ‘Unity’ atau perpaduan, lantikan Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina dikekalkan.

“Inilah perpaduan sebenar yang kita mahu dan perlukan,” jelasnya.

Sementara itu Jin Zhe yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah bersedia mengalas tanggungjawab sebagai pembangkang yang efektif, lantang bersuara dan progresif.

Jin Zhe yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Luyang dengan majoriti besar, 14, 521 undi dalam PRN Sabah ke-16 lalu turut memberi jaminan kepada penduduk Luyang bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang telah diberi mandat oleh rakyat.

* Meskipun berada dalam blok pembangkang, ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick bertekad
untuk terus bekerja keras, memberi khidmat dan bersuara untuk rakyat di kawasan DUN Kadamaian dan Sabah.

* 73 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini dengan pertambahan 2 kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bomba, Sandakan dan Kluster Jalan Utara, Sandakan.

Susulan penularan pandemik COVID-19 di Sabah, MERCY Malaysia menggerakkan sukarelawannya bagi membantu klinik kesihatan setempat di negeri ini.

29 September 2020.