Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29 November 2020

Bersama Hikma Juni.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, menurun hari ini dengan 290 kes dilaporkan berbanding 476 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 28,455 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata

1 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan seorang wanita berusia 53 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau.

Pesakit mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 208.

315 pesakit telah sembuh hari ini manakala 2,252  pesakit sedang menerima rawatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok yang dilaksanakan sejak 16 November lalu dan dijadual berakhir hari ini, dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 13 Disember ini.

Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Sehingga 27 November lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan masih terdapat 109 kes aktif di Kampung Numbak manakala 136 kes aktif di Penempatan Telipok.

1 kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Batu Lima di Kota Kinabalu dengan 49 kes positif yang berkaitan dengan saringan kontak rapat di sebuah kilang besi.

* Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MCMC akan melaksanakan penyelesaian sementara dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi, Ranau melalui teknologi ‘Very Small Aperture Terminal’ VSAT.

Dalam satu kenyataan hari ini MCMC menyatakan usaha itu telah mendapat sokongan daripada pihak Common Tower Technologies Sdn Bhd, CTT, sebuah anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, yang juga merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT.

Menurut kenyataan itu, MCMC amat bersimpati atas situasi yang menimpa tiga orang pelajar yang dilaporkan terjatuh, ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi baru-baru ini.

Selain itu, tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara, JENDELA.

* Prihatin dengan isu pengangguran khususnya dalam kalangan belia yang semakin serius sejak pandemik Covid-19, Kementerian Sumber Manusia, KSM bersama Kementerian Belia dan Sukan telah menganjurkan Karnival Penjana Kerjaya Belia 2020 yang berlangsung dari 24 November hingga 26 November lalu.

Penganjuran karnival kerjaya khas untuk golongan belia yang julung kali diadakan secara dalam talian ini telah dilaksanakan oleh agensi di bawah KSM iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial, PERKESO.

Karnival pekerjaan ini menyaksikan lebih 8,300 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 26 majikan.

Sepanjang tiga hari karnival, penganjur menerima penyertaan seramai 13,246 belia dari seluruh negara.

* Program menukar sampah kepada bakul makanan, Trash For Food semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat Sabah khususnya yang tinggal di pulau.

Semalam, seramai 463 keluarga di Pulau Gaya terlibat menjayakan inisiatif yang dilaksanakan sembilan gabungan pertubuhan bukan kerajaan menerusi Misi Jelajah Kasih Pulau Gaya.

Sebanyak 400 guni sampah seberat 2 tan atau 2,000 kg berjaya dikumpulkan dalam program tersebut yang melibatkan enam kampung iaitu Kampung Siasih, Bas-Bas, Lodnongan, Lok Baru, Pasir Putih dan Kampung Pondo.

29th November   2020.