Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29 Mei 2020

Bersama Aza Mini Liashin.

* Rakyat di negeri ini diminta melakukan sedikit pengorbanan dengan tidak meraikan sambutan Pesta Kaamatan secara besar-besaran susulan pandemik Covid-19 yang kini melanda dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, mengambil iktibar daripada legenda kisah pengorbanan Huminodun, rakyat Sabah perlu mengorbankan keselesaan dan kebebasan serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan kerajaan.

Dalam perutusan sempena sambutan perayaan Pesta Kaamatan 2020, hari ini, Datuk Seri Mohd Shafie berkata, perayaan tahun ini agak mencabar berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan juga Sabah.

Menurutnya, pelaksanaan langkah-langkah pencegahan ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan rakyat untuk meraikan perayaan.

Namun semua yang dilakukan adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelak wabak ini daripada terus berjangkit.

Menurut Ketua Menteri, kerajaan mahupun rakyat perlu bersatu padu, mengambil tanggungjawab bersama untuk memerangi wabak Covid-19.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah untuk terus mengukuhkan dan meningkatkan lagi perpaduan, keharmonian dan kemakmuran agar segala langkah, usaha dan perancangan untuk membangun dan memajukan negeri ini akan terus berjalan lancar dan  memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Katanya, Sabah adalah negeri yang unik di mana rakyat kekal bertahan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisional yang telah diturunkan dan diwariskan sejak zaman berzaman.

* Semua peniaga di pasar di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Keningau yang menjalani ujian saringan Covid-19 disahkan negatif jangkitan wabak berkenaan, melibatkan pengambilan 534 sampel.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata,saringan akan diteruskan di daerah-daerah lain secara berperingkat selepas ini.

Sehingga semalam, bilangan kumulatif ujian Covid-19 bagi negeri Sabah berjumlah 83,718.

Sementara itu katanya, kawalan di semua pintu masuk di Sabah diteruskan termasuk di lapangan terbang yang menerima beberapa lagi penerbangan masuk.

Semalam, 13 penerbangan tiba di Kota Kinabalu iaitu dua penerbangan sewa khas yang membawa balik 574 pelajar institusi pengajian tinggi dari Semenanjung dan 10 penerbangan komersil serta satu penerbangan TUDM yang membawa 413 penumpang.

Manakala seramai 213 orang telah disaring di pintu masuk Merapok-Sindumin dan 385 orang dari Labuan disaring di Terminal Feri Menumbok.

* Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan meneruskan Kempen Imunisasi Polio Sabah, berikutan peratusan pemberian dos kedua bOPV (bivalent Oral Polio Vaccine) sangat rendah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, pencapaian setakat 28 Mei bagi dos pertama bOPV adalah 80.8 peratus dan bagi dos kedua pula adalah 47.1 peratus.

Beliau berkata, keadaan ini disebabkan pelaksanaan kempen yang tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan PKP sejak 18 Mac lalu.

6 Disember lalu, kes pertama polio dilaporkan di Sabah setelah Malaysia bebas daripada virus itu sejak 27 tahun lalu.

Selepas itu, tiga lagi kes polio direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes polio di Sabah setakat 28 Mei, sebanyak empat kes.

* Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, TLDM Sandakan sedang dalam perancangan untuk diperbesarkan bagi membolehkan penambahan jumlah aset keselamatan di situ di samping memastikan kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah kukuh.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau kepada Ketua Menteri,  hari ini.

Menurut beliau, perkembangan semasa keselamatan negara memerlukan lebih banyak aset ditempatkan di Pantai Timur Sabah, justeru fasiliti yang ada perlu diperbesarkan.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan awal kerana perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu termasuk penyediaan tanah dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

* Pengguna jalan raya di Jalan Rugading Tuaran bakal menarik nafas lega apabila masalah banjir  yang sering melanda setiap kali hujan lebat akan diatasi kelak.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penyelesaian itu sebenarnya telah dimasukkan dalam reka bentuk projek lebuh raya Pan Borneo yang sebelum ini ditangguh bagi mematuhi PKP.

* Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa kebakaran yang mengorbankan 5 sekeluarga di Kampung Binsuluk, pada awal pagi 1 Syawal lalu, Padiberas Nasional Berhad, BERNAS tampil menghulurkan bantuan.

Sumbangan itu bagi meringankan sedikit bebanan suami mangsa, Othman Ali, 64 tahun yang kehilangan isteri, Aisah Jumat dan empat anak dalam tragedi itu.

Arwah Aisah, 58 tahun adalah kakitangan BERNAS sejak 1984.

Arwah disifatkan seorang kakitangan yang rajin dan komited dengan tugasnya dan kehilangannya amat dirasai oleh seluruh warga kerja BERNAS di Sabah.

Selain sumbangan kewangan, BERNAS turut menyampaikan beras dan barangan keperluan dapur kepada Othman di Kampung Sungai Damit, Membakut.

Dalam tragedi itu, Aisah bersama empat anaknya, Dzulkarnain, 32, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 tahun terkorban.

Othman dan dua lagi anaknya terselamat dan mengalami cedera ringan.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Yang Dipertua Kelab BERNAS Malaysia Cawangan Sabah, Hervian Kirman.

* Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP  cawangan Tuaran merampas 119 tong gas petroleum cecair, LPG termasuk sebuah lori dengan anggaran nilai RM39,050 yang dikesan dijual tanpa lesen sah di sekitar pekan Tuaran, kelmarin.