Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29 March 2021

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Sabah akan maju setapak ke hadapan dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, SMJ sepanjang tempoh lima tahun akan datang di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah, GRS.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelaksanaan SMJ 2021-2025 akan mengambil kira semua aspek dengan memfokuskan kepada tiga sektor ekonomi utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

Beliau berkata, SMJ adalah hala tuju yang dimiliki semua anak watan Sabah dan bukannya pelan milik peribadinya selaku Ketua Menteri, dan jemaah menteri mahupun GRS.

Katanya, pelaksanaan SMJ membabitkan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat agar mampu bergerak seiring dalam membangunkan negeri ini.

* Pengerusi Perikatan Nasional, PN Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa terbuka untuk menerima kemasukan parti politik lain ke dalam Gabungan Rakyat Sabah, GRS asalkan perjuangannya sehaluan dengan GRS dan PN.

Ketua Menteri berkata permohonan Parti Liberal Demokratik, LDP yang ingin menyertai PN, akan diberi pertimbangan sewajarnya.

* Sementara itu, Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik, LDP meluluskan usul untuk menyertai PN selepas melihat kesungguhan PN yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyelesaikan masalah rakyat terutama ketika berdepan cabaran COVID-19 ketika ini.

* UMNO Sabah tetap dengan keputusan untuk berunding dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah, GRS berhubung isu agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata perkara itu sudah dijelaskan dalam kenyataannya ketika Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau sekali lagi menegaskan, pergolakan politik di Semenanjung tidak mengganggu kedudukan GRS yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16, September lalu.

* Pesta Kaamatan tahun ini akan memberi cabaran dan peluang besar bagi industri kreatif Sabah untuk menunjukkan kemampuan teknikal dan kreativiti mereka.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Induk Kaamatan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menyeru bakat kreatif di negeri ini untuk tampil dan bekerjasama dengan jawatankuasa tersebut untuk menjayakan Pesta Kaamatan tahun ini.

Jeffrey berkata, sempena Kaamatan tahun ini, beliau ingin menemui permata tersembunyi dalam kalangan orang Sabah dan menggesa pemain industri untuk menghubungi jawatankuasa itu secepat mungkin.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, menurun dengan 34 kes dilaporkan hari ini berbanding 38 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 657 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata dua kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Tawau dan Kota Kinabalu.

Tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini.

Daerah Tawau dan Lahad Datu merekodkan kes positif baharu tertinggi dengan masing-masing mencatatkan 6 kes hari ini.

Setakat hari ini, secara kumulatif 42, 292 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama di Sabah.

Manakala bagi vaksin dos kedua, secara kumulatif 11,406 orang telah menerima suntikan hari ini.

29th March 2021.