Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 29 June 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Prihatin dengan kebajikan penduduk di kawasan yang dilanda banjir, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal meneruskan tinjauan ke daerah terjejas hari ini.

Jika semalam, beliau meninjau keadaan banjir di sekitar Penampang, petang tadi Ketua Menteri turun padang ke daerah Kota Belud.

Ketua Menteri turut melawat pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud yang menempatkan 318 mangsa banjir dari 100 keluarga.

Banjir di Kota Belud menjejaskan 32 kampung.

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri akan memastikan bukan sahaja keselamatan penduduk, malahan memastikan kebajikan mereka seperti makan minum dan perubatan, terjaga.

Menurut Datuk Seri Mohd Shafie, kerja mendalamkan dan memperluaskan sungai di Kota Belud menerusi projek  tebatan banjir Kota Belud seharusnya dipercepatkan kerana punca banjir di daerah ini telah dikenal pasti. Kajian tidak perlu dilakukan lagi.

* Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sabah meningkat kepada 1,209 orang, 4 petang tadi berbanding 1,007 orang, 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah, Kamal Mokhtar berkata, 1,209 mangsa banjir itu ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara di lima daerah yang terjejas teruk iaitu di Kota Belud, Papar, Penampang, Beaufort dan Tenom.

Sementara itu, proses pembelajaran melibatkan seramai 172 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah St Micheal, Penampang, terpaksa ditangguhkan hari ini setelah sekolah mereka dinaiki air.

* Tinjauan pelaksanaan prosedur operasi standard, SOP sempena pembukaan sekolah oleh Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu pagi tadi membawa khabar gembira kepada sekolah tersebut.

Beliau yang hadir ke sekolah itu pada pukul 8 pagi meluluskan segera peruntukan RM300,000 untuk membina dewan terbuka sekolah dan RM200,000 untuk menaik taraf jalan masuk ke sekolah tersebut.

Keadaan infrastruktur yang kurang baik itu disampaikan sendiri Pengetuanya, Datin Hasnah Mohd. Yakob ketika berjumpa dengan Ketua Menteri.

* Ketua Menteri menyifatkan cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad menamakannya sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus, PH Plus sebagai satu penghargaan.

Namun beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata, beliau tidak pernah meminta untuk dicalonkan dan akan membincangkan cadangan tersebut secara terperinci terlebih dahulu.

* Sementara itu, sokongan demi sokongan dizahirkan pelbagai pihak ke atas pencalonan Ketua Menteri sebagai Perdana Menteri.

Pemuda Sosialis DAP, DAPSY Sabah melihat pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan membolehkan prinsip kesederhanaan dipraktikkan di Malaysia.

Ketua DAPSY Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, pencalonan orang Borneo pertama sebagai Perdana Menteri ini amat bermakna dan bersejarah.

Presiden UPKO,  Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang menyokong cadangan pencalonan itu, mengesyorkan supaya Ahli Dewan Rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju.

Katanya tiada alasan untuk tidak menyokong cadangan itu seandainya kita betul-betul percaya bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah rakan kongsi yang sama taraf dalam Malaysia.

UPKO turut berharap hal-hal seperti royalti minyak, masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin, peningkatan pelaburan ke Sabah, penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan banyak lagi, akan ditangani supaya Sabah akan terus progresif.

* Satu kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Sandakan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dilaporkan di Sabah sehingga kini adalah  371 kes dengan tujuh kematian.

Semalam, daerah Nabawan yang sebelum ini zon hijau  mencatatkan kes pertama Covid-19.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata terdapat 12 kes aktif dilaporkan di Sabah setakat ini.

4 di Tuaran, 2 di  Kota Kinabalu dan Tawau dan masing masing 1 di Penampang, Papar, Nabawan dan Sandakan.

Menurutnya, tiada kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini kekal 352 kes.

* Ini pula usaha untuk mengatasi masalah banjir di Tuaran.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sistem perparitan di daerah itu akan dinaik taraf kerana sudah tidak mampu menampung air dalam kuantiti yang banyak sehingga menyebabkan banjir.

Di Tuaran, 227 rumah di Kampung Sungai Damit ditenggelami air bah.