Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28th March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Pertambahan 15 kes positif  baharu Covid-19 di Sabah  hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 197, berbanding 182 kes semalam.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata  setakat ini 16 daripada 25 daerah di Sabah merekodkan kes positif Covid-19 termasuk satu daerah baharu, iaitu Keningau yang mencatat kes pertama hari ini.

Tawau kekal daerah yang mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan 57 kes.

Sehingga kini, 9 kes telah pulih sepenuhnya di Sabah iaitu enam di Lahad Datu dan tiga di Sandakan.

Satu lagi kematian  dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada  27 kes di negara ini.

Untuk hari ini, 159 kes baharu Covid-19  dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,320 kes termasuk 320 kes yang telah pulih sepenuhnya.

* Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, JANS, Datuk Amarjit Singh berkata, peruntukan RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur dan mengatasi masalah bekalan air, yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah, Rabu lalu adalah langkah tepat bagi membantu rakyat yang terjejas.

Peruntukan itu digunakan JANS untuk membekalkan tangki-tangki statik berkapasiti 5,000 atau 10,000 gelen di kawasan yang berdepan masalah kekurangan bekalan air khususnya di Tawau dan Kinarut.

* Sementara itu, Datuk Amarjit memberi jaminan bekalan air di Sabah adalah mencukupi buat masa ini berdasarkan pemantauan di enam empangan di seluruh negeri.

* Di Tawau, seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun menjadi individu pertama ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan, PKP di daerah itu. Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di belakang kedai di Taman Megah Jaya, 5.30 petang semalam. Suspek kini direman tiga hari bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

* Di Sandakan, polis menahan lapan individu di tiga lokasi berasingan semalam kerana melanggar PKP. Lima ditahan di Kampung Forest, dua di Taman Merpati dan seorang lagi di pusat bandar Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd, Azhar Hamin berkata, individu yang ditahan di Taman Merpati turut disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah. Semua suspek dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

.

* Pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut, iaitu feri penumpang dan bot laju dari Labuan ke Sabah dan Sarawak yang berkuat kuasa sejak 24 Mac lalu, dilanjutkan sehingga tempoh PKP tamat pada 14 April.

Jadual pelayaran feri kenderaan yang telah dikurangkan kepada satu perjalanan bermula 24 Mac lalu untuk empat feri yang beroperasi dari Labuan-Menumbok-Labuan, berbanding tiga perjalanan sebelum ini juga, akan kekal sehingga PKP berakhir.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan semalam menjelaskan semua pergerakan dan pengangkutan di antara daerah bagi perkhidmatan dan barangan keperluan atau essential services and goods seperti bahan makanan, sayur sayuran, ikan dan seumpamanya, adalah dibenarkan dan tidak disekat.

Kerajaan Negeri juga tidak menghalang pergerakan dan pengangkutan barangan dan perkhidmatan keperluan seharian di antara negeri dan negara jiran, tertakluk kepada peraturan dan perundangan sedia ada.

*  Berkuatkuasa serta merta,

Kerajaan Negeri dalam mesyuarat Pusat Arahan  Sabah COVID-19  hari ini telah membenarkan tambahan masa dari 2 petang hingga 6 petang bagi stesen minyak  khusus untuk

pembekalan petrol dan diesel kepada kenderaan-kenderaan yang membawa barangan  keperluan atau untuk tujuan operasi perkhidmatan penting sahaja.

Sebelum ini, stesyen-stesyen minyak di seluruh negeri hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 2 petang sahaja.

* Misi menyalurkan bantuan daripada kerajaan Sabah kepada penduduk yang terjejas akibat PKP, diteruskan di seluruh pelusuk negeri.

Di Papar, bantuan lebih seribu kampit beras serta barangan keperluan seharian disampaikan kepada penduduk di sekitar daerah itu, disempurnakan Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony, semalam.

* Di Kota Kinabalu, 2,140 pek makanan dihantar kepada penduduk dan juga anggota polis di Pulau Gaya yang disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan. Menurut Datuk Junz, beliau memberi keutamaan kepada penduduk pulau itu kerana mereka tidak dapat keluar di sepanjang PKP.

Bantuan yang disampaikan itu memanfaatkan 2,110 keluarga.

* 200 keluarga daripada 3 kampung menerima bantuan makanan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Kampung berkenaan ialah Lok Urai, Pulau Gaya, Kampung Sabang Numbak, Sepanggar and Kampung Bukit Bendera.

* Antara yang paling terjejas dengan PKP ialah golongan nelayan yang tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki sedangkan menangkap ikan adalah mata pencarian utama mereka. Seorang nelayan, Fadilah Aburairah, 42, dari Kampung Batu Payung, Tawau berkata dia turun ke laut seperti biasa untuk menangkap ikan pada 18 Mac lalu, namun dihampiri pihak berkuasa sebelum dinasihatkan untuk pulang serta mematuhi PKP.

Akur dengan arahan itu, Fadilah tidak pernah lagi ke laut untuk menangkap ikan sehingga ke hari ini.

Nasib yang menimpa Fadilah sekeluarga terbela apabila terpilih antara 50 ketua keluarga yang menerima bantuan barangan dapur dari Masjid Nurul Hidayah, Kampung Batu Payung.

* Di Bintulu, bantuan kepada penduduk terjejas akibat PKP disalurkan oleh pengurusan Surau Darussalam, Kampung Baru Darat kepada semua penduduk tanpa mengenal sempadan kaum dan agama.

Syaratnya hanya satu, penduduk mestilah benar – benar memerlukan bekalan makanan. Pemohon akan ditemubual terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan mereka bagi mengelakkan  golongan sasar daripada tercicir menerima bantuan.