Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28th July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Pengunaan pelitup muka di tempat awam di Sabah, diwajibkan mulai 1 Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, langkah itu selaras dengan arahan di peringkat Persekutuan.

* Semua individu yang pulang ke Sabah dari luar negara sama ada melalui laut, darat atau udara, akan dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang ditetapkan, mulai esok.

* Pertemuan antara Datuk Seri Mohd Shafie bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat, PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berakhir dengan baik.

Namun, tiada sebarang kata putus yang diambil dalam menentukan siapa antara kedua-dua calon Perdana Menteri itu akan dipilih oleh Pakatan Harapan Plus.

* Rakyat di negeri ini harus ketepikan perbezaan agama, kaum dan fahaman politik
dalam memastikan penyatuan bangsa dapat dilakukan dengan sebaiknya.

Ketua Menteri berkata, jika perbezaan sebegitu menjadi amalan maka, ia boleh menghancurkan penyatuan dan kesatuan sesuatu bangsa.

* Ketua Menteri turut ditanya mengenai perancangan mengenakan cukai jualan besi buruk, Datuk Seri Mohd Shafie berkata, cadangan itu akan diteliti terlebih dahulu bagi melihat kesesuaian pelaksanaannya.

* Ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Mohd. Shafie meminta Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bertanya kepada Kerajaan Persekutuan siapa sebenarnya yang berkuasa mengeluarkan kad pengenalan.

Ketua Menteri berkata, sebelum ini Jeffrey mengadakan demonstrasi menuduh beliau yang mengeluarkan kad pengenalan. Namun disebabkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR itu kini bersama Persekutuan maka adalah lebih mudah untuk beliau mengemukakan pertanyaan itu.

* Empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Parti Warisan Sabah termasuk seorang yang ditawarkan wang RM5 juta untuk melompat parti, menyatakan pendirian mereka untuk kekal bersama dan menyokong Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan.

Mereka ialah ADUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli, ADUN Lahad Datu Dumi Pg Masdal, ADUN Sebatik, Datuk Muis Picho dan ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin.

Mereka turut menjelaskan bahawa pendirian untuk kekal setia bersama Warisan itu adalah demi rakyat yang lebih diutamakan daripada terus berpolitik.

* Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, 1MDB yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

* Wanita Sabah yang mempunyai masalah berkaitan penyalah gunaan dadah kini tidak perlu lagi dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk menjalani rawatan dan pemulihan.

Kemudahan pertama seumpamanya di Sabah kini terdapat di Keningau.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata sebelum ini wanita Sabah yang terjebak dengan dadah terpaksa dihantar untuk menjalani rawatan dan pemulihan di Bachok, Kelantan atau Tampin, Negeri Sembilan.

Ini kerana Sabah tidak mempunyai kemudahan sedemikian.

* Polis berjaya menumpaskan geng samun dikenali Geng Ben dengan penahanan lima suspek termasuk seorang wanita di Sandakan.