Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28 September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Selepas 24 jam berteka-teki, Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu dijangka diadakan di Istana Negeri Sabah, 10.30 pagi esok.

Pengerusi Perikatan Nasional, PN Sabah, Datuk Hajiji Noor hari ini dipanggil menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hajiji tiba di Istana Negeri pada 3.55 petang menaiki kenderaan berwarna hitam.

* Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal memberikan mesej ringkas menghargai sokongan rakyat Sabah kepada Parti Warisan Sabah, Warisan.

Terima kasih atas sokongan rakyat, katanya ringkas ketika ditemui di kediamannya di Rumah Yayasan Sabah petang tadi.

Presiden Warisan itu bagaimanapun tidak memberikan jawapan ketika ditanya tentang kemungkinan Datuk Seri Hajiji Noor dilantik Ketua Menteri selepas dicalonkan oleh Gabungan Rakyat Sabah, GRS.

“Kita akan terus berkhidmat,”katanya.

* Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar PKPDB secara pentadbiran kini dilaksanakan di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna selama dua minggu, berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 12 Oktober, melibatkan kira kira 960,000 penduduk.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPDB itu dilaksana berikutan terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di daerah keempat-empat daerah itu dalam tempoh 1 hingga 27 September.

Daripada jumlah itu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau 634 kes, Kunak 65 kes dan Semporna 255 kes.

Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPDB secara pentadbiran di kawasan-kawasan berkenaan.

* Sepuluh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, berdepan risiko terkena renjatan elektrik akibat aktiviti pendawaian haram ketika melakukan operasi pemadaman api di Kampung Bakau, Lahad Datu, lewat malam tadi.

Dua buah rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.

28 September 2020.