Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28 November 2020

Bersama Hikma Juni.

* Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu Sabah berharap Kerajaan Persekutuan akan membantu kerajaan negeri menunaikan aku janji  pilihan raya negeri, PRN, September lalu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ini sekali gus menggerakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan dibentangkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah, GRS dalam tempoh terdekat.

Katanya Sabah memerlukan bantuan yang lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan.

Sabah perlu menambah dan mencipta hasil baharu untuk negeri yang memerlukan kerjasama pusat bagi menyempurnakan hak dan kepentingan negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

* Seorang lelaki rakyat asing berusia 130 tahun antara 4 kes kematian yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Lelaki itu dipercayai orang tertua di dunia, meninggal dunia di Hospital Tuaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata
2 lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan membabitkan seorang wanita berusia 60 tahun dan seorang lelaki berusia 84 tahun.

Satu lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 207.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, meningkat hari ini dengan 476 kes dilaporkan berbanding 441 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 28,155 kes.

274 pesakit telah sembuh hari ini manakala 2,094 pesakit sedang menerima rawatan.

Manakala, 4 kluster baharu dilaporkan di Sabah.

Kluster Tapak Bina Jesselton dI Kota Kinabalu dengan 44 kes positif, Kluster PTS Sibuga dengan 104 kes positif dan Kluster Dermaga yang mencatatkan 34 kes, kedua-duanya di Sandakan serta Kluster Tempasuk, di Kota Belud yang merekodkan 12 kes.

Sementara itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Kluster Jesselton berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan Jesselton Quay, Kluster Sibuga berkaitan dengan Pusat Tahanan Sementara Sibuga.

Manakala Kluster Dermaga berkaitan dengan saringan Pelabuhan Dermaga Sandakan dan Kluster Tempasuk berkaitan dengan upacara pengebumian.

* Kira-kira 18,000 penduduk Taman Telipok Ria, Tuaran menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD bermula semalam sehingga 10 Disember ini.

Difahamkan ia lokasi PKPD terbesar di Sabah melibatkan 30 blok pangsapuri, 3,400 unit kediaman dan kawasan seluas 28 hektar dan membabitkan pemasangan pagar kawat berduri yang terpanjang di Sabah iaitu 1.7 kilometer.

Proses pemasangan menggunakan 220 gelung pagar kawat berduri itu dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia.

* Universiti Malaysia Sabah, UMS diberi kepercayaan untuk melaksanakan kajian terhadap ketepatan dan keberkesanan kit ujian Covid-19 yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat terkemuka berpangkalan di Wuhan, China.

Kajian itu adalah kerjasama UMS-Dewan Perniagaan Sabah–China, SCCC bagi membantu menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.

Sementara itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial, PERKESO hari ini menyerahkan 280 set Peralatan Perlindungan Diri, PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

Kesemua 280 set PPE itu telah dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka dalam tempoh 5 hari oleh 15 pelatih vokasional dan Orang Berinsurans PERKESO yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat berkenaan.

* Penduduk di Sandakan, khususnya golongan belia yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB,  disaran memanfaatkan teknologi sebagai usaha menjana pendapatan, contohnya dengan memulakan perniagaan secara dalam talian.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Mohamad Hamsan Awang Supain berkata tidak dinafikan, pandemik COVID-19 menyebabkan golongan belia di daerah ini berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya dari segi ekonomi.

* Kutip sampah, dapat makanan. Itu program Bank Makanan yang dilaksanakan di Sim-Sim, Sandakan hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri, Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon.

Selain membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19, program ini turut bertujuan mendidik penduduk Sim-Sim agar tidak membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam laut, sehingga mencemarkan persekitaran dan mendatangkan penyakit seperti denggi dan taun.

28th November 2020.