Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28 March 2021

Bersama Hikma Juni.

* Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan UMNO pusat untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15, tidak menjejaskan hubungan UMNO Sabah dengan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah, GRS termasuk Bersatu.

* Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan tidak lagi menggunakan pendekatan yang sama sebagai ahli politik pembangkang dalam perjuangan menuntut hak-hak Sabah.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri menolak dakwaan bahawa beliau telah berhenti menyuarakan hak dan autonomi Sabah sepertimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia, MA63.

Sebaliknya, perjuangannya tetap berterusan, hanya dengan pendekatan yang berbeza.

Katanya apabila berada dalam kerajaan, beliau tidak boleh bersuara lantang seperti dulu, sebaliknya menyuarakan secara dalaman menerusi Jawatankuasa Khas MA63 yang dianggotainya.

* Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, WHS, subsidiari milik penuh kerajaan negeri Sabah sedang meneroka kerjasama dengan Gemilang Coachwork Sdn Bhd, GML bagi memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik.

WHS telah menghantar pasukannya untuk melawat kilang pembuatan GML di Senai, Johor, sebagai sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan bagi menubuhkan sistem Bas Alihan Cepat, BRT di Kota Kinabalu.

* Kes rasuah melibatkan kontraktor bagi kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan di Sabah agak tinggi dan membimbangkan kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sabah, S Karunanithy.

Katanya, berdasarkan rekod bagi tempoh 2018 sehingga 2020 seramai 47 kontraktor membabitkan syarikat kontraktor kelas F dan G yang menawarkan kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaran, dituduh di mahkamah.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, menurun dengan 38 kes dilaporkan hari ini berbanding 64 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 623 kes.

Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Perintah Kawalan Pergerakan, PKP di daerah Nabawan, ditamatkan 30 Mac ini.

* Labuan selesai melaksanakan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas baki keseluruhan 2,328 petugas barisan hadapan yang disenaraikan di bawah fasa itu menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, hari ini.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata pulau bebas cukai itu kini bersedia melaksanakan fasa kedua program yang dijadual melibatkan 27,000 individu.

Katanya jumlah yang mendaftar menerusi MySejahtera di bawah fasa kedua ialah sekitar 16,000 orang.

28th March 2021.