Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28 Januari 2020

32

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Pembatalan semua penerbangan pergi balik dari Wuhan, China ke Kota Kinabalu dilanjutkan sehingga 29 Februari depan sebagai langkah pencegahan terhadap penularan koronavirus di negeri ini. Syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia Berhad dalam satu kenyataan berkata, pembatalan tersebut turut melibatkan penerbangan dari Bangkok dan Phuket, Thailand ke Wuhan.

* Tinjauan BTtv mendapati sekolah di sekitar Kota Kinabalu sudah mengambil langkah pencegahan dengan menggalakkan muridnya memakai penutup hidung dan mulut. Antaranya Sekolah Kebangsaan Kepayan. Guru sekolah itu juga perlu memakai penutup hidung dan mulut ketika dalam kelas.

* Ini pula mengenai polio. Lebih 109,000 bayi dan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah di 25 daerah di Sabah telah diberikan vaksin melalui kempen imunisasi polio yang dilaksanakan sejak 27 Disember lalu – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

* Sejak 2018, pasukan keselamatan menggagalkan 40 cubaan culik di perairan Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE. Langkah mengetatkan kawalan keselamatan di laluan berisiko, berjaya mengesan lebih awal aktiviti kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menculik untuk wang tebusan – Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali.

* Seorang penghidap cerebral palsy, Edward Taning, 59 tahun, bertekad untuk menawan puncak gunung Kinabalu secara mengundur bagi mengumpul dana RM500,000 ke atas untuk membantu golongan orang kurang upaya di pusat pemulihan dalam komuniti Ranau. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal yang dilantik sebagai penaung projek amal dikenali Projek Edward Gostaning Jasamu Dikenang itu turut menyumbangkan RM95,000 untuk tujuan itu. Edward pernah menawan puncak Kinabalu secara mengundur pada 1992 dan turut berjalan mengundur dari Lahad Datu ke Penampang pada 2012 dan dari Sandakan ke Kota Kinabalu pada 2009 untuk mengutip dana.

* Berita dari Bumi Kenyalang. Meskipun kedudukannya terletak berhampiran Empangan Hidroelektrik Bakun, namun masyarakat di rumah panjang di hilir empangan itu, masih belum menikmati bekalan elektrik 24 jam. Namun masalah mereka bakal berakhir tidak lama lagi menerusi projek penyambungan grid dari rumah panjang Hilir Bakun sehingga ke pekan Belaga. Lanskap di daerah terpencil itu juga bakal berubah wajah menerusi pelaksanaan projek Waterfront Pekan Belaga Fasa 1 dan 2 serta naik taraf Jalan Menjawah – Belaga sejauh 36 km.