Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 28 Februari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Sabah menjadi lokasi pertama pembinaan kilang kerajang tembaga untuk pengeluaran bateri kenderaan elektrik, EV syarikat Korea Selatan, SK Nexilis.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, pelaburan bernilai RM2.3 bilion itu dijangka akan mewujudkan 400 peluang pekerjaan.

Syarikat SK Nexilis adalah peneraju global teknologi pembuatan kerajang tembaga bagi bateri dan syarikat ini mempunyai reputasi industri yang baik.

Kilang tersebut dijangka mampu mengeluarkan kerajang tembaga sehingga 50,000 tan setahun.

* Kementerian Alam Sekitar dan Air memperuntukkan RM77 juta bagi projek rancangan tebatan banjir untuk mengatasi masalah banjir di daerah Kota Belud.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata daripada jumlah itu, RM27 juta diperuntukkan bagi rancangan tebatan Sungai Gurong-Gurong yang dijangka siap pada 2022.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi projek tebatan empat batang sungai iaitu Sungai Kadamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang yang kini dalam proses pembinaan.

* Kira-kira 3,000 ekor babi ternakan dan babi hutan di Pitas akan dimusnahkan bagi membendung penularan wabak Demam Babi Afrika atau African Swine Fever, ASF.

Dalam fasa pertama ini, sebanyak 22 ekor babi telah dimusnahkan.

* Kerjasama rakyat penting bagi memastikan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE lebih teratur dan berada pada tahap terbaik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, tanggungjawab mengawal keselamatan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan.

Sebaliknya keberkesanan kawalan keselamatan lebih terserlah, jika semua pihak khususnya masyarakat setempat memberi kerjasama.

* Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE yang berakhir esok, dilanjutkan 14 hari sehingga 16 Mac.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata perintah berkurung itu meliputi perairan Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi.

* Seramai 140,756 orang murid pra-sekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua di Sabah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka, esok.

* Kes positif baharu COVID-19 di Sabah kembali menurun dengan 134 kes dilaporkan hari ini, berbanding 157 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 52, 886 kes.

Buat hari keempat berturut-turut, daerah pedalaman Nabawan mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 43 kes hari ini, sebahagian besar dari Kluster Sinsingon, diikuti Kinabatangan 19 kes dan Kota Kinabalu 14 kes.

Tiada kes kematian dan tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

* Sepuluh wakil media dan 15 petugas kesihatan adalah antara kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Labuan, semalam.

Program imunisasi itu dibuat di Klinik Kesihatan Membedai dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, menerima suntikan pertama diikuti pemimpin tempatan, petugas kesihatan dan ketua kerajaan lain.

28th February 2021.