Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 27th July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa 40 peratus daripada hasil yang diperoleh dari Sabah dan Sarawak perlu dipulangkan demi manfaat kedua-dua negeri kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mahu atau tidak, perkara itu perlu dipatuhi kerana jika tidak, akan berlaku krisis Perlembagaan berikutan pengasingan kuasa yang dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Tegas beliau, Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya hanya mengutamakan rakyat di Semenanjung atau sesuatu negeri.

Sebaliknya rakyat Sabah dan Sarawak juga perlu mendapat layanan sewajarnya selaras dengan objektif penubuhan Malaysia.

* Datuk Seri Mohd. Shafie menegaskan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui G2G bukanlah untuk mencari populariti politik.

Sebaliknya demi menyelamatkan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Ketua Menteri berkata, pengangguran di Sabah telah mencecah lebih 100,000 orang, justeru beliau tidak mahu membuang masa untuk terus berpolitik.

Sebaliknya keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan nasib rakyat terbela.

* Datuk Seri Mohd. Shafie menempelak pemimpin Perikatan Nasional yang kononnya mempertahankan Titah Diraja, untuk tidak lagi mengheret rakyat ke dalam kemelut politik, namun realiti yang berlaku adalah sangat bercanggah.

Ketua Menteri berkata, ketika rakyat memohon agar kerajaan membantu mereka, sebaliknya sebahagian pemimpin kerajaan lebih berminat untuk membeli wakil rakyat Sabah dan cuba menggugat kestabilan politik yang ada.

Beliau berkata, tindakan kerajaan terdahulu menggunakan instrumen kerajaan untuk memberi tekanan politik kepada pemimpin tertentu seolah-olah telah bermula kembali.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal dipilih sebagai calon pilihan kedua Perdana Menteri, sekali gus dapat membantu menyelesaikan kebuntuan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan pelantikan ke jawatan itu.

Kenyataan bersama Parti Amanah Negara dan DAP, menjelaskan bahawa  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah membuat cadangan itu dan disokong oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dalam satu pertemuan tidak rasmi di Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.

* Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bugaya, Manis Buka Mohd. Darah mendakwa didatangi ejen politik yang membuat tawaran lumayan termasuk jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya bersetuju meninggalkan parti.

Tidak cukup dengan tawaran itu, ejen terbabit turut menyebarkan berita palsu mendakwa ramai wakil rakyat Parti Warisan Sabah sudah menandatangani surat persetujuan untuk keluar parti.

Turut tersebar berita palsu kononnya beliau ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen tempatan berkaitan pengumuman keluar parti.

Malah ejen itu juga sanggup membuat cerita rekaan dengan menggunakan namanya dalam senarai kabinet bayangan kerajaan baharu Sabah sebelum ditularkan di media sosial.

* Sejumlah RM1.252 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di 237 sekolah seluruh Sabah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata bagi tempoh 2017 hingga 2019, sejumlah RM630.7 juta telah disalurkan untuk membiayai projek naik taraf sekolah manakala bagi tahun ini, sejumlah RM621.2 juta diperuntukkan bagi tujuan sama.

Di samping itu, Radzi berkata Kementerian Pendidikan turut menerima peruntukan sejumlah RM410 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 untuk kerja naik taraf, baik pulih dan menyelenggara kemudahan di sekolah.

* Seorang penunggang motosikal dikenali sebagai ‘Lunchai’ yang dirakam membelasah seorang lelaki di Api-Api Centre, Kota Kinabalu yang tular di laman sosial berjaya ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki berusia 35 tahun itu yang mempunyai 16 kes jenayah lampau berkaitan dadah, curi dan mendatangkan kecederaan,
berjaya ditahan di rumahnya di Taman Sempelang pada pukul 11.30 malam.

27th July 2020.