Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 27 September 2020

Bersama Hikma Juni.

* Rakyat Sabah masih perlu menunggu untuk mengetahui siapa akan dilantik Ketua Menteri berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah yang menyaksikan tiada parti mutlak mencapai majoriti mudah.

Tumpuan kini terarah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk menggunakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Keadaan di depan pintu masuk Istana Negeri Sabah, tenang dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

* Parti Warisan Sabah, Warisan dan rakan sekutunya dalam Warisan Plus berjaya mengekalkan rekod cemerlang di Pantai Timur Sabah dengan memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah ke-16.

Warisan menyapu bersih 11 kerusi DUN di empat kawasan Parlimen di Pantai Timur Sabah iaitu di Batu Sapi, Sandakan, Silam dan Semporna.

* PRN Sabah semalam turut menyaksikan beberapa nama besar dalam arena politik Sabah tewas di kerusi DUN ditandingi.

Antaranya ialah Presiden Parti Cinta Sabah, PCS dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang tewas kepada calon Parti Warisan Sabah, Daud Yusof di DUN Bongawan.

Ketua Umum USNO yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tewas di kerusi DUN Pintasan.

* Semua individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 dan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, HSO bermula hari ini sehingga 10 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata mereka akan diberi surat HSO dan dipakaikan gelang kuarantin.

Tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan ujian makmal diperolehi.

Menurutnya, aktiviti saringan akan dijalankan apabila mereka baru tiba dari Sabah di Pintu Masuk Antarabangsa.

Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19.

Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.

27 September 2020.