Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 27 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan  gagal menunjukkan sebarang bukti untuk mengesahkan tuduhan beliau sebelum ini kononnya Parti Warisan Sabah memberikan dokumen kepada pendatang asing tanpa izin, PATI yang terlibat dalam kebakaran.

Jeffrey sebaliknya berkata, beliau hanya menganggap semua penghuni di kawasan setinggan adalah PATI, justeru apabila berlaku kebakaran dan kerajaan memberikan bantuan, penerima bantuan tersebut adalah PATI.

Jeffrey diminta wartawan memberikan bukti tersebut dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu yang dihadirinya hari ini memandangkan beliau sebelum ini mempersoalkan bantuan yang diberikan kerajaan kepada mangsa kebakaran di kawasan setinggan yang dianggap sebagai PATI.

Jawapan dikemukakan Jeffrey ternyata membuktikan beliau hanya melakukan tuduhan liar terhadap Warisan selama ini, bagi memburuk-burukkan imej pemimpin Kerajaan Sabah yang tampil menghulurkan bantuan terutama makanan kepada mangsa kebakaran.

Hakikatnya, bukan semua penduduk di kawasan setinggan adalah PATI kerana masih ramai rakyat golongan berpendapatan rendah tinggal di kawasan seperti itu, maka apabila berlaku musibah kebakaran, kerajaan bertanggungjawab menghulurkan bantuan keperluan asas.

Sementara itu, ketika wartawan menjelaskan lagi soalan dan meminta beliau menunjukkan bukti tuduhan tersebut, Jeffry terus mengelak dengan menjelaskan tentang cadangan mahu menganjurkan forum bagi membincangkan isu PATI yang turut melanda Semenanjung.

* Datuk Dr Jeffrey Kitingan seolah-olah tidak sedar bahawa kehadiran ribuan pendatang asing tanpa izin, PATI di Sabah, bermula sejak zaman kerajaan terdahulu iaitu semasa beliau masih di dalam Parti Bersatu Sabah, PBS.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Datuk Loretto Padua Jr berkata, masalah PATI itu bagaimanapun tidak pernah diselesaikan oleh Jeffrey dan kerajaan terdahulu sehingga berlarutan ke hari ini.

Sehubungan itu katanya, Jeffry cuba mempolitikkan isu berkenaan apabila menuduh kerajaan Sabah ketika ini menjadi punca kedatangan PATI ke negeri ini bagi menutup kegagalannya.

Loretto berkata, sejak Warisan mengambil alih kerajaan, masalah PATI adalah isu yang cuba diselesaikan melalui beberapa langkah termasuk operasi memburu dan menghantar pulang golongan berkenaan, tanpa kompromi.

Menurut Loretto, Jeffry bukan sahaja pemimpin yang gagal malah beliau tidak pernah memahami bagaimana masalah PATI di Sabah boleh berlaku.

Akibat kegagalan pemimpin seperti Jeffry, masalah PATI kini semakin kompleks apabila golongan itu beranak pinak di Sabah dan tidak diterima oleh Filipina sebagai rakyat sendiri menyebabkan mereka menjadi rakyat tanpa negara.

Loretto turut mencabar Jeffry menyatakan bukti tentang tuduhannya kononnya pemimpin Warisan memberikan kad pengenalan kepada mangsa kebakaran.

Ini kerana kuasa untuk memberikan kewarganegaraan, terletak pada Putrajaya dan bukan kerajaan negeri dan  Jeffrey seharusnya tahu perkara ini.

* Selepas 2 hari berturut turut mencatatkan lebih 100 kes positif baharu Covid-19, bilangan kes yang dilaporkan di seluruh negara  hari ini turun mendadak kepada 15 kes sahaja hari ini.

Jumlah kes positif hari ini adalah angka paling rendah sejak  Perintah Kawalan Pergerakan PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 7,619 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 1,421 kes.

Daripada 15 kes baharu yang dilaporkan hari ini, enam  adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Daripada sembilan kes penularan tempatan pula, empat kes adalah bukan warganegara Malaysia.

Sabah mencatatkan 1 kes positif baharu, hari ini.

* Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengingatkan semua penghuni yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin agar menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Ia susulan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang meninggalkan pusat kuarantin dalam keadaan yang kotor.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, pihaknya menerima aduan bahawa terdapat segelintir individu yang dikuarantin di pusat berkenaan menunjukkan sikap yang kurang menyenangkan dan tidak menjaga kebersihan.

* Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Dr Christina berkata portal Sabahkini berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal memperbetulkan kenyataan berbaur fitnah yang merosakkan imej Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, JKNS.

Beliau merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam portal berkenaan bertarikh 26 Mei yang bertajuk ‘Yayasan Osimal milik bekas Ketua Hakim Monopoli Projek Rapid Test Kit (RTK) dari Singapura?’.

Beliau berkata, untuk makluman, JKNS tidak pernah menerima Rapid Test Kit daripada Yayasan Osimal.

Gambar yang disiarkan adalah bekalan reagen untuk Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

* Batalion 20 Pasukan Gerakan Am, PGA Beluran melakukan penerbangan ihsan untuk menghantar pulang seorang anggota yang mengalami serangan angin ahmar pada usia muda ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

Anggota itu Lans Koperal Mohamad Syazwan Othman, 28, yang disahkan lumpuh di sebelah kanan badan oleh doktor pakar di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, dihantar menggunakan pesawat King Air Polis Diraja Malaysia menerusi Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah, 9 pagi tadi.