Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 27 March 2021

Bersama Hikma Juni.

* 543 ekor babi peliharaan dan babi hutan mati akibat jangkitan Demam Babi Afrika, ASF di Sabah, sehingga Selasa lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata dalam tempoh sama, 387 ekor babi telah dilupuskan bagi mengawal penularan wabak itu.

Sehingga kini, enam daerah diisytiharkan kawasan wabak ASF iaitu Pitas, Beluran, Kota Marudu, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan.

Pitas daerah pertama di Sabah diisytiharkan kawasan wabak pada 23 Februari lalu, setelah beberapa ekor babi ditemukan mati.

* Parti Solidariti Tanah Airku, STAR Sabah menyasarkan untuk bertanding lima kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas kerusi mana akan ditandingi, namun beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Keningau.

* Kerajaan memperuntukkan RM2.67 juta tahun ini bagi membantu lebih 4,000 pekebun koko di seluruh negara, kata Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, LKM Dr Aliakbar Gulasan.

Beliau berkata LKM telah mula mengagihkan peruntukan itu sejak awal tahun ini dalam bentuk peralatan, pengurusan di kebun, baja koko dan lain-lain dalam usaha membantu pekebun terutamanya pekebun kecil sederhana.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, meningkat dengan 64 kes dilaporkan hari ini berbanding 51 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 585 kes.

Satu kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu di Hospital Tawau dan dua kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Jalan Kastam Baru, Lahad Datu dengan 6 kes kumulatif dan Kluster Inanam Tapian, Kota Kinabalu dengan 9 kes kumulatif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD Kampung Lingkudau, Keningau, ditamatkan esok.

Daerah Tawau merekodkan kes positif baharu tertinggi dengan 12 kes hari ini.

* Polis Papar membuka 14 kertas siasatan kes perjudian setakat suku pertama tahun ini.

Satu kes sudah didakwa di mahkamah manakala 13 kes lagi masih dalam siasatan.

27th March 2021.