Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 27 Januari 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Persediaan lebih awal melibatkan semua agensi kerajaan perlu dilakukan dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat berpanjangan dan mengakibatkan bencana banjir, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata Monsun Timur Laut sememangnya sesuatu yang dijangka berlaku saban tahun, bagaimanapun pihak berkaitan sering mengambil tindakan secara ad hoc atau apabila diperlukan dan kelaziman ini perlu diubah.

Katanya, adalah lebih baik semua pihak membuat persiapan awal daripada menunggu bencana berlaku.

* Pelaksanaan ujian saringan Covid-19 ke atas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, STPM di Sabah hanya untuk pelajar yang tinggal di asrama sahaja.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan saranan kepada ibu bapa untuk membuat saringan terhadap anak-anak mereka sebelum memulakan sesi persekolahan, hanyalah satu nasihat dan bukannya diwajibkan.

Seramai 39,100 orang petugas barisan hadapan di Sabah akan menerima vaksinasi Covid-19 fasa pertama kelak.

Sementara itu, kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun buat hari keempat berturut-turut dengan 295 kes dilaporkan hari ini berbanding 303 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 47, 737 kes.

1 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu di Putatan. 1 kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Sulaman, Kota Kinabalu dengan 23 kes kumulatif setakat ini. Kluster ini membabitkan pekerja sebuah pasar raya di Sulaman.

* Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, JPBN Sarawak, polis dan tentera akan berbincang langkah lebih efektif bagi menangani isu penduduk rumah panjang di Sibu, ‘lari’ daripada sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19, menggunakan laluan denai hutan.

Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau telah meminta Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan pihak tentera untuk mengemukakan satu program pemerkasaan lebih berkesan bagi menghalang perbuatan penduduk itu, pada mesyuarat harian jawatankuasa berkenaan,  hari ini.

* Sementara itu, lebih 50 anggota Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Pakit, Sri Aman diatur gerak untuk memantau pematuhan PKP di 10 rumah panjang di Sri Aman.

Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata 10 rumah panjang tersebut telah dikenal pasti melalui Operasi Pengesanan Kes Aktif, ACD baru-baru ini.

* Semua syarikat yang disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu di Sibu perlu mendapatkan permit polis untuk pergerakan pekerja mereka, berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Sejak awal pagi semalam, ratusan majikan membanjiri Balai Polis Sentral Sibu dan Balai Polis Lanang untuk memohon permit berkenaan.

* Di Beaufort, dua lelaki yang diarahkan menjalani tempoh kuarantin dikenakan kompaun selepas didapati melanggar arahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, individu pertama yang dikenakan kompaun membabitkan seorang lelaki berusia 36 tahun di Kampung Kelabu.

Manakala seorang lagi membabitkan seorang lelaki berusia 51 tahun yang tinggal di Kampung Rancangan Klias.

27th January 2021.