Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 27 Januari 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata kerajaan Sabah sentiasa merancang pelbagai strategi untuk mengurangkan beban hutang negeri.

* Dalam ucapannya di sambutan Tahun Baru Cina di Sandakan,  Datuk Seri Mohd. Shafie mengingatkan semua pemimpin agar berhenti berpolitik sebaliknya fokus untuk membangunkan ekonomi Sabah dengan agresif tahun ini demi meningkatkan taraf hidup rakyat.

* Dalam ucapannya juga, Ketua Menteri berkata, wakil rakyat kerajaan yang didapati tidak menjalankan tanggungjawab mereka akan ditukar dengan pemimpin lain yang selayaknya berkhidmat untuk rakyat. Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua wakil rakyat agar menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang diamanahkan untuk membantu rakyat bukannya mengambil kesempatan mencari harta kekayaan kepada diri sendiri. Datuk Seri Mohd Shafie mahu semua wakil rakyat agar menyelami masalah rakyat, turun padang dan membantu apa sahaja masalah yang dihadapi rakyat bukannya hanya muncul semasa pilihan raya. Tegasnya selain membantu rakyat miskin, setiap wakil rakyat juga perlu membina hubungan baik dengan orang-orang kaya kerana golongan tersebut yang terlibat dalam perniagaan berperanan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

* Dalam sidang media di Sandakan juga, Ketua Menteri berkata kerajaan menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan membantu menaik taraf kemudahan untuk peniaga kecil di seluruh negeri.

* Keputusan ujian makmal seorang wanita dari China yang kini ditempatkan di wad pengasingan di Hospital Bintulu, Sarawak hanya akan diketahui malam ini. Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi liar atau menyebarkan khabar yang belum disahkan, kononnya terdapat kes jangkitan koronavirus di Sarawak. Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri berkata buat masa ini, pesakit berkenaan hanya disyaki dan belum disahkan dijangkiti koronavirus. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ketika dihubungi media berkata beliau akan membuat makluman sekiranya ada sebarang perkembangan terbaru mengenai wabak itu di negara ini.

* Dengan mengambil kira perkembangan terkini penularan wabak novel koronavirus di China, kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di sekitarnya.

* Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata tiada sebarang pembatalan penerbangan terus dari bandar seperti Xi’an dan bandar-bandar kecil lain di China, sepanjang Tahun Baru Cina.

* Sempena sambutan Tahun Baru Cina, kita ikuti suasana perayaan di kawasan terpencil di Sarawak iaitu pekan Belaga.

* Penyambungan haram dikenal pasti punca gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Institut Latihan Perindustrian, ILP, Kota Kinabalu.

* Ini pula usaha berterusan pihak berkuasa membanteras aktiviti memburu hidupan liar terlindung. Lima lelaki ditahan di Sungai Tandu Batu, Kinabatangan, lewat malam tadi.

* Akibat dibebani hutang dan masalah ketiadaan pekerjaan, seorang lelaki cedera parah termasuk patah kaki kiri dan bahu kanan selepas bertindak nekad terjun dari tingkat lima sebuah pusat membeli belah, di Jalan Kuhara, Tawau, tengah hari tadi.