Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26th March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Timbalan Pengarah sebuah hospital di Sabah antara 80 petugas Kementerian Kesihatan  yang disahkan positif Covid-19. Timbalan Pengarah hospital berkenaan mengesahkan dirinya positif Covid-19 ketika dihubungi, hari ini.  Katanya, beliau disahkan positif Covid-19 semalam dan kini menjalani rawatan di hospital yang sama.

Berikutan itu, pejabat timbalan pengarah hospital berkenaan ditutup bagi tujuan pembasmian kuman. Menurut sumber, susulan daripada itu, Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah berkenaan turut diarahkan dikuarantin selama 14 hari bermula hari ini kerana difahamkan mempunyai kontak rapat dengan timbalan pengarah tersebut.

* Pejabat Daerah Nabawan mengesahkan bantuan barang makanan asas yang disampaikan di Kampung Pamuntarian baru-baru ini adalah untuk golongan yang sangat memerlukan sahaja.

Pegawai Daerah Nabawan, Virus Malitam berkata bagaimanapun bantuan tersebut telah diagihkan kepada jumlah lebih kecil

oleh ketua kampung mengikut adat dan kepercayaan kaum Murut bagi memastikan setiap penduduk mendapat bahagian masing-masing atau ‘tinauh’.

* Menyedari ramai penduduk luar bandar dan pedalaman di Sabah yang kehilangan punca pendapatan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan, PKP berkuatkuasa, Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan Sabah meneruskan usaha menyalurkan bantuan kepada mereka.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony ketika menyempurnakan Program Penyerahan Bantuan bagi kawasan Bingkor dan Liawan, di Keningau semalam berkata ramai petani yang tidak boleh mengusahakan kebun masing-masing kerana perlu patuh kepada PKP yang telah dilanjutkan sehingga 14 April ini. Justeru, golongan ini perlu dibantu.

* Sementara itu Datuk Peter menyifatkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bernilai RM670 juta yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal semalam sebagai menyeluruh yang mengambil kira keperluan semua rakyat termasuk penduduk di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau berharap jawatankuasa yang telah diamanahkan bagi mengagihkan bantuan pakej itu agar menyalurkan bantuan secara saksama tanpa mengira latar belakang agama mahupun pegangan politik mereka.

Pakej Bantuan Covid-19 Sabah yang diumumkan Ketua Menteri semalam turut merangkumi pemberian bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara “one off” kepada ketua isi rumah miskin dan ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta yang dijangka memberikan faedah kepada 22,456 ketua isi rumah miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh Sabah.

Bantuan kewangan one-off sebanyak RM300 turut diberikan kepada semua rakyat Sabah golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk di Semenanjung melalui peruntukan sebanyak RM80 juta.

* Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan berkata pembayaran bantuan tunai secara one-off kepada golongan miskin tegar, golongan B40, kumpulan terdedah dan pesakit Covid-19 dimulakan secara berperingkat hari ini. Bagi penerima  bantuan khas one-off RM500 kepada golongan miskin dan miskin tegar, pembayaran dibuat secara online mulai hari ini. Bagi yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dilakukan secara tunai.

* Seramai 72 keluarga termasuk kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kuarters DBKK Taman Kurnia Jaya menerima sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Bantuan berupa beras, gula, tepung, makanan dalam tin dan pelbagai lagi diserahkan Parti Warisan Sabah Bahagian Sepanggar yang diwakili Timbalan Ketuanya, Ahmad Jais.

* Di Putatan, sebanyak 1,500 pakej bantuan barangan keperluan asas disalurkan kepada golongan terjejas yang disampaikan Ketua Warisan Bahagian Putatan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari. Penerima bantuan adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin, pesakit dalam pemantauan, P-U-I, serta mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

* Selain bantuan kepada penduduk, sumbangan terus  disampaikan kepada petugas barisan hadapan. Di Tawau, pengurusan Masjid Al-Kauthar mengambil inisiatif menyumbangkan barangan keperluan dapur bernilai RM2,500 kepada Angkatan Pertahanan Awam hari ini, sebagai sokongan kepada  petugas barisan hadapan yang kini berjuang membendung  penularan wabak Covid-19.

* Disuruh duduk di rumah tetapi berdegil untuk keluar dan apabila ditahan pihak polis dalam sekatan jalan raya, kenderaan dipecut laju sehingga pihak berkuasa terpaksa mengejar selama hampir sejam.

Seorang lagi tertuduh pula mengamuk apabila disaman polis kerana tidak memiliki lesen memandu semasa ditahan dalam sekatan jalan raya. Tindakan dua lelaki itu akhirnya membawa padah apabila seorang daripada mereka dihukum penjara 10 bulan manakala seorang lagi didenda RM6,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.

Tertuduh, Yong Tze How, 26, dan Injumar Abu Gafar, 33, menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie hari ini. Mereka menjadi individu pertama di Sabah didenda dan dihukum penjara oleh mahkamah kerana menghalang anggota polis yang menjalankan tugas penguatkuasaan PKP.

* Penduduk rumah panjang di kawasan terpencil di Belaga, Sarawak, turut berdepan detik sukar kerana tidak dapat keluar mencari rezeki termasuk bercucuk tanam dan menangkap ikan sungai serta sebagai pekerja kem pembalakan dan ladang kelapa sawit di sepanjang tempoh PKP ini.

Sehubungan itu, bantuan yang diumumkan Kerajaan Sarawak Isnin lalu melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dimanfaatkan sepenuhnya.

Sepanjang tempoh PKP, orang luar dilarang memasuki kawasan rumah panjang di Belaga yang terletak lebih 200 km dari bandar Bintulu.

* Kabinet memutuskan agar dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan disalurkan kepada Tabung COVID-19 yang dilancarkan 11 Mac lalu. Sehingga  semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48.