Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26th July 2020

Bersama Hikma Juni.

* Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera terhadap pihak yang didakwa ‘mengganggu gugat’ ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN kerajaan Sabah. Ahli Parlimen Sepangar, Datuk Mohd Azis Jamman mahu siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menghantar mereka untuk mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan.

Ia berikutan gesaan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal yang menyatakan laporan polis telah dibuat oleh ADUN-ADUN kerajaan. Katanya, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk beberapa bukti perbualan WhatsApp antara ejen yang menganggu Adun kerajaan.

* Polis diminta memaklumkan perkembangan siasatan terhadap laporan-laporan polis yang telah dibuat beberapa wakil rakyat Sabah yang diganggu oleh ejen-ejen politik untuk tujuan lompat parti.

Ketua Parti Warisan Sabah Putatan, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari berkata, rakyat Sabah perlu mengetahui siapa sebenarnya dalang di sebalik perbuatan itu sehingga menjejaskan ketenteraman politik Sabah.

Katanya, selain polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM juga sepatutnya tampil melakukan siasatan kerana dakwaan kehadiran ejen politik itu bukan lagi rahsia, justeru agensi itu tidak perlu menunggu laporan dibuat sebelum bertindak.

* Fokus dengan pentadbiran negeri dan bukannya hanya berpolitik, tegas Ketua Menteri.

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal memberi ingatan itu ketika dunia menghadapi ekonomi yang semakin mencabar selain berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri berkata, tiada ertinya kerajaan memerintah berpuluh tahun jika rakyat masih miskin, hidup susah, tidak memiliki tanah serta duduk di kawasan setinggan. Menurutnya, jika terlalu berpolitik, kebajikan rakyat tidak dapat diberikan perhatian.

* Sempena lawatannya ke Tuaran semalam, Ketua Menteri berkata Kerajaan Sabah komited menggalakkan belia untuk menceburi industri perikanan persisiran pantai melalui penyediaan pelbagai inisiatif.

Atas sebab itu, kerajaan akan membuka permohonan tanah melalui lesen pendudukan sementara TOL kepada belia bagi memulakan penternakan ikan persisiran pantai.

* Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan merancang untuk membaik pulih Pasar Umum Kota Marudu selepas Pasar Ikan Terbuka di pekan itu disiapkan dengan peruntukan RM200,000.

Menterinya, Datuk Jaujan Sambakong berkata, usaha itu sedang dirancang memandangkan pasar tersebut mengalami kebakaran pada 16 Februari 2018 sehingga menyebabkan peniaga kehilangan tempat untuk berniaga.

* Usaha menggalakkan orang ramai menderma darah, diteruskan. Satu program menderma darah secara marathon selama 5 minggu dengan kerjasama unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, UPPM, kini diadakan di pelbagai lokasi di seluruh Sabah.

Program dikenali Blood Donation Marathon Human for Humanity ini dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe. Ia bertujuan membantu meningkatkan bekalan di tabung darah hospital utama di Sabah.

*Rakyat Penampang bukan sahaja menyambut baik Kempen Pengurusan Sisa anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri Moyog, malah mereka juga memohon agar kempen itu dapat diteruskan.

Orang ramai yang ditemui meluahkan perasaan gembira kerana diberikan ganjaran berupa sekampit beras seberat 10 kilogram. bagi setiap 20 kilogram botol kaca yang mereka sumbangkan.

Menurut mereka kempen tersebut adalah satu peluang kepada ibu bapa untuk mendidik anak mereka mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

* Empat penjaga premis pusat hiburan di Kota Kinabalu dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard, SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP, malam tadi. Penjaga premis berusia antara 32 hingga 42 tahun itu didapati membenarkan pengunjung berhibur, menyediakan minuman beralkohol dan gagal mengawal pengunjung menjaga penjarakan sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, satu rondaan dan pemantauan kawalan Covid-19 PKPP dilakukan di lima premis sekitar Waterfront dan Karamunsing Capital. Hasil operasi sehingga pukul dua pagi mendapati ada empat premis didapati membenarkan pengunjung berhibur dan menyediakan minuman beralkohol. Malah penjaga premis gagal mengawal pengunjung untuk menjaga penjarakan sosial.

* Jika sebelum ini seniman atau artis seni visual terjejas sumber pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, golongan itu kini berpeluang mempamerkan karya mereka di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, SICC.

Pameran yang menampilkan karya seni 74 artis itu, julung kali diadakan dan berkisarkan kreativiti artis berkarya sepanjang PKP.

26th July 2020.