Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26 October 2020

Bersama Hikma Juni.

* 7 kes kematian, 927 kes positif baharu dan satu kluster baharu Covid-19, Kluster Kapor di Kudat, dilaporkan di Sabah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 3 kes kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, 2 kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan masing-masing satu kes kematian di Hospital Tuaran dan Hospital Tawau.

Pesakit terdiri 5 lelaki dan dua wanita berusia antara 27 tahun hingga 90 tahun dan kebanyakan mereka mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Kematian di Hospital Tuaran melibatkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang cacat penglihatan.

Kes kematian yang dilaporkan di Sabah kini meningkat kepada 105 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata tanggapan bahawa sistem kesihatan di Sabah akan runtuh ekoran lonjakan kes positif adalah tidak benar.

Buat masa ini, 25 hospital kerajaan di negeri ini berfungsi dengan baik dan tiada kekurangan kemudahan di Unit Rawatan Rapi.

Dengan itu, beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan fakta yang tidak betul.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD dilaksanakan di Taman Mesra dan Taman Mawar di Sandakan bermula 28 Oktober sehingga 10 November, melibatkan 22,500 penduduk.

Manakala PKPD di Taman Khazanah Indah, Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu dan Felda Umas Tawau yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 9 November.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lebih separuh kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini, direkodkan di Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu mencatatkan 532 kes positif baharu dimana 439 kes adalah dari kluster Penjara Kepayan.

Statistik ini adalah yang tertinggi dicatatkan di Kota Kinabalu setakat ini.

Dengan itu, kes di Kota Kinabalu sehingga kini mencecah 3,625 kes.

Setakat ini, empat kluster dikenal pasti di Kota Kinabalu iaitu kluster Penjara Kepayan, kluster Atap, kluster Sauh dan kluster Bandaran.

Sebanyak 90,471 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasaran.

* Tiada keperluan untuk memasang pagar kawat berduri di kawasan penjara dan perumahan penjara Kepayan meskipun kawasan itu berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata ini kerana kawasan terbabit telah dikelilingi pagar dan hanya mempunyai satu pintu untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

* Senario peningkatan jangkitan kes COVID-19 di Sabah, menyaksikan pelbagai pihak, termasuk penduduk kampung dan badan bukan kerajaan saling bantu-membantu untuk meringankan beban barisan petugas hadapan yang sedang berperang mengekang penularan pandemik itu.

Tidak ketinggalan, sekumpulan penduduk di Kampung Inabah Kamal dan Kampung Sabdi di Semporna yang secara sukarela dan bergotong-royong menyediakan makanan tengah hari untuk petugas barisan hadapan COVID-19, sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan mereka.

Mahu dikenali sebagai  Frontliner Kitchen, inisiatif yang diterajui lebih 20 wanita terutamanya kalangan suri rumah.  Mereka memulakan tugas sejak awal pagi bagi menyediakan masakan antaranya ayam rendang atau kari ayam dengan nasi, sayur, buah serta sebotol air mineral untuk petugas barisan hadapan, sejak tiga minggu lalu.

Semalam, 450 bungkus makanan diagihkan dalam dua fasa kepada petugas di Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna, Klinik Kesihatan, Pusat Kuarantin Projek Perumahan Rakyat Bubul Ria, sekatan jalan raya termasuk pasukan keselamatan di laut.

Van yang diubah suai untuk membawa pesakit yang dijangkiti Covid-19 turut disumbangkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah, PKD Semporna.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal menyumbangkan van berkenaan untuk membantu PKD Semporna membawa pesakit positif Covid-19 yang memerlukan khidmat pengangkutan untuk ke hospital.

Van berkenaan diubah suai mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi membolehkan ia bertindak sebagai kenderaan yang boleh digunakan apabila ambulans tidak mencukupi.

26th October 2020.