Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Selepas mencatatkan 172 kes baharu  COVID-19 semalam, Malaysia terus merekodkan  pertambahan kes positif hari ini dengan 187 kes baharu dilaporkan, sebahagian besarnya membabitkan individu bukan warganegara.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 7,604 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,448 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara Malaysia.

Manakala 177 kes, adalah penularan tempatan.

Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

13 kes lagi daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes sahaja katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya, petang tadi.

Katanya tiada kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.51 peratus.

* Lebih 60% kes Covid-19 yang dilaporkan di Sabah adalah jangkitan dalam negeri manakala satu pertiga daripadanya melibatkan kontak rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung.

Kementerian Kesihatan telah memutuskan kes import dibahagikan kepada kategori A, B dan C.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi berkata kes import A adalah rakyat Sabah yang baru pulang dari luar negara dan mendapat jangkitan seperti di Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Indonesia.

Manakala import B membabitkan rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, import C adalah kes yang dikesan dalam negeri iaitu tempat pesakit bermastautin.

Kes tempatan adalah jangkitan  dalam daerah iaitu tempat pesakit bermastautin.

Setakat 24 Mei, semua jangkitan tempatan dikategorikan sebagai kes import C dan kes tempatan.

Majoriti kes jangkitan dalam negeri merupakan kontak kepada kes import B.

* Sebanyak 43 pek beras disumbangkan  Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO kepada Pemimpin Gereja Paroki Bundu Tuhan Kiulu.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, bantuan itu adalah usaha berterusan bagi membantu badan-badan keagamaan yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19.

.

Datuk Seri Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen P170 Tuaran berkata

sebelum ini UPKO telah menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau serta kepada badan keagamaan bukan Islam daripada pelbagai denominasi.

* Ketika ini, semua sekolah masih ditutup lantaran pandemik Covid-19.

Berikutan itu, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dikendalikan secara maya melalui sistem atas talian atau e-pembelajaran.

Namun bagi sebilangan pelajar, faktor geografi dan topografi Sabah yang luas menyebabkan mereka berdepan kekangan menempuh norma baharu itu.

Di Keningau, 2 beradik tetap gigih dan komited untuk meneruskan pelajaran mereka dalam sebuah pondok di puncak bukit dikelilingi kebun kelapa sawit dan hutan belantara.

Di rumah mereka di Kampung Bomboi, sesi pembelajaran atas talian hampir mustahil dilakukan bagi Rechellyna Rinus, 17 dan adiknya Ryverra, 15 kerana tiada liputan internet.

Jika terdapat isyarat data di kampung mereka sekali pun, ia amat perlahan menjadikan aktiviti pembelajaran sangat mengecewakan dan menyebabkan mereka kerap tertinggal pelajaran.

Kepincangan itu mendorong Recellyna dan Ryverra nekad untuk “berpindah” ke lokasi lebih tinggi, iaitu tanah kebun sawit bapa saudara mereka, kira-kira setengah km dari rumah mereka di mana isyarat internetnya paling kuat.