Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26 March 2021

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 tahun (Undi18) dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal pelaksanaannya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP bagi mengekang penularan Covid-19.

*   Golongan peniaga di negeri ini perlu memanfaatkan media sosial bagi menjana pendapatan yang lebih baik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, peniaga terutamanya golongan muda juga perlu berusaha meningkatkan ilmu serta kemahiran untuk terus maju dalam bidang perniagaan.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah, menurun dengan 51 kes dilaporkan hari ini berbanding 70 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 521 kes.

Ranau menjadi daerah terbaharu dan kelima dikategorikan zon hijau di Sabah.

Tiada kes kematian dilaporkan di Sabah, hari ini namun dua kluster baharu dilaporkan iaitu Kluster Sawit Sebrang di Lahad Datu dengan 9 kes kumulatif dan Kluster Kolam Lintas di Penampang dengan 7 kes kumulatif.

Kluster Sawit Sebrang melibatkan pekerja kilang Sebrang di Silabukan, Lahad Datu manakala Kluster Kolam Lintas melibatkan pekerja sebuah syarikat insuran di Kolam Plaza, off Jalan Lintas, Luyang.

Setakat hari ini, secara kumulatif 41, 988 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama di Sabah.

Manakala bagi vaksin dos kedua, secara kumulatif 2,831 orang telah menerima suntikan hari ini.

Pendaftaran penerima vaksin Covid-19 di Sabah ketika ini hanya 7.54 peratus atau 294,568 orang daripada populasi keseluruhan penduduk Sabah iaitu 3.904 juta orang kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara, MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof.

* Berikutan arahan mengenai etika berpakaian bagi orang awam atau pelanggan ke hospital yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul.

Sebaliknya, hospital berkenaan memaklumkan semua orang awam atau pelanggan digalakkan berpakaian sopan terutama ketika berurusan di Bahagian Pengurusan.

* Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Sabah menyita produk makanan ringan bernilai RM40,946.50 kerana menggunakan tanda halal tidak diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jakim.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan itu dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, kira-kira 11 pagi, kelmarin.

* Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sabah menahan seorang lelaki yang disyaki memberi rasuah RM5,000 kepada seorang pegawai kerajaan negeri sebagai dorongan untuk meringankan pertuduhan terhadap rakannya yang melakukan kesalahan menyimpan haiwan dilindungi, dipercayai untuk tujuan perubatan.

Haiwan yang dimiliki oleh rakan suspek adalah beruang madu, landak, ular sawa, burung punai, babi hutan, burung tiong dan beberapa haiwan lain yang dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

* Kerajaan negeri meneruskan program penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin, PATI Siri 2/2021 membabitkan rakyat Indonesia, hari ini.

150 PATI warga Indonesia diusir keluar dari Sabah melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia Tawau.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, semua PATI tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak tahun lalu.

* Sembilan pengemis wanita Palauh bersama 25 kanak-kanak yang ditahan pada 13 Mac lalu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah, di Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, penyerahan itu dilakukan setelah kertas siasatan kes itu dirujuk ke Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

* Persatuan Bola Sepak Sabah, SAFA memberi fokus untuk melahirkan generasi baharu pemain bola sepak berprestasi tinggi seperti pemain legenda Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan.

Pemangku Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Sabah mempunyai barisan pemain yang baik pada masa ini namun berpendapat masih kekurangan dari segi tahap kemahiran yang dimiliki tiga legenda The Rhinos itu.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata SAFA akan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan bola sepak peringkat akar umbi bagi membangunkan pemain muda yang juga anak Sabah dan mencungkil bakat mereka untuk diketengahkan sebagai pemain skuad Sabah FC.

26th March 2021.