Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26 June 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob menyelar kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang cuba mengelirukan rakyat dengan menggambarkan situasi politik di Sabah sedang goyah.

Pembohongan demi pembohongan dilemparkan oleh Bung tentang wakil rakyat Sabah yang dikatakan akan keluar beramai-ramai meninggalkan parti kerana didakwa sudah bosan dengan hala tuju parti yang tidak jelas.

Kenyataan Ketua Umno Sabah itu tidak mencerminkan situasi sebenar keadaan politik yang berlaku di Sabah kerana Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan negeri dibawah pimpinan Warisan masih lagi kukuh.

Menurut Datuk Dr Yusof, yang tiada hala tuju adalah UMNO Sabah kerana sudah tidak relevan lagi di Sabah lebih-lebih lagi apabila Bung menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.

* Tiada kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan sifar kes Covid- 19 di Sabah buat hari ketiga berturut turut.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata jumlah kumulatif Covid-19 di Sabah kekal 366.

Tuaran masih mencatat bilangan kes aktif tertinggi dengan 4 kes, diikuti Penampang 3 kes dan masing masing satu kes di Papar dan Tawau.

Jumlah kumulatif kes pulih kekal 350 kes.

* Majlis Keselamatan Negara, MKN Sabah meneruskan program pengusiran pendatang asing tanpa izin, PATI untuk menangani masalah kebanjiran golongan itu di Sabah.

Seramai 267 PATI Indonesia diusir ke negara asal sejak Rabu lalu.
.
Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata hari ini 133 PATI Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka dalam program pengusiran siri ke-18.

Rabu lalu, seramai 134 orang PATI warga Indonesia turut diusir melalui jalan laut dari pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

Secara keseluruhan, jumlah PATI yang diusir sepanjang tahun ini adalah 3,936 orang.

* Sebuah kilang di Tuaran diarah menghentikan operasi oleh Jabatan Alam Sekitar kerana operasinya telah menyebabkan pencemaran teruk ke atas sebuah sungai.

Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Rugading membuat aduan mengenai sisa buangan minyak daripada sebuah kilang ke sungai berhampiran dan mendakwa tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkaitan.

Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, John Rampai berkata pihaknya bersama pengadu dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung telah melawat sungai yang didakwa tercemar itu, 23 Jun lalu.

Hasil siasatan mendapati sebuah kilang merupakan punca berlakunya masalah itu.

Jabatan itu telah bertindak menyita semua peralatan di kilang tersebut bagi menghentikan operasinya buat sementara, sehingga kilang itu mematuhi arahan yang ditetapkan berkaitan garis panduan penjagaan alam sekitar.

* Jalan Papar Lama – Kota Kinabalu terus menjadi lokasi kemalangan jalan raya.

Kali ini membabitkan sepasang suami isteri yang nyaris maut apabila kenderaan dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit yang digenangi air di kilometer 24 jalan itu, 4.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Papar, DSP Bartholomew Umpit berkata kejadian berlaku ketika lelaki berusia 49 tahun dan isterinya berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Kinarut ke Kawang, ketika hujan lebat.

Siri kemalangan termasuk kemalangan maut di sepanjang jalan itu yang juga sebahagian Lebuh Raya Pan Borneo mendorong pelbagai pihak menggesa agar
aspek keselamatannya dipertingkatkan.

* Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang menjual telur penyu secara atas talian berjaya ditangkap dalam Op Tapau yang dilancarkan Jabatan Hidupan Liar, JHL Sabah di kawasan parkir Survey Hypermarket, Putatan 11 pagi tadi.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata lelaki itu memang dicari kerana aktif memasarkan telur penyu secara online menerusi Facebook.

Berdasarkan pemeriksaan ke atas kenderaan suspek yang di parkir di kawasan pasar raya hyper berkenaan, anggota penguatkuasa menemui 20 biji telur penyu.

* Konflik antara manusia dan haiwan terus dilaporkan.

Di Kalabakan, seorang wanita maut dibaham buaya ketika membasuh pakaian dan mandi di Kampung Sungai Tuda Lama, semalam.

26th June 2020.