Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26 Februari 2021

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Kumpulan pertama 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Kota Kinabalu selamat tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan, pagi tadi.

Vaksin itu dibawa menggunakan jalan darat dengan sebuah van dari Kota Kinabalu sejauh 155 km dan dibawa menaiki feri ke Labuan dengan diiringi bot peronda polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata fasa pertama program vaksinasi COVID-19 di Labuan akan melibatkan 2,340 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, pemimpin tempatan dan wakil agensi media kerajaan yang berpangkalan di Labuan.

Dr Ismuni berkata program imunisasi itu akan melibatkan 103,000 penduduk Labuan yang dijangka dilaksanakan hingga akhir tahun ini.

* Kes positif baharu COVID-19 di Sabah kembali meningkat dengan 129 kes dilaporkan hari ini, berbanding 93 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 52, 595 kes.

Tongod menjadi daerah pertama di Sabah yang bertukar menjadi zon hijau.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD dilaksanakan di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan
bermula esok sehingga 12 Mac.

Satu kes kematian dilaporkan hari ini iaitu di Papar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata
satu kluster baharu turut dilaporkan iaitu Kluster Merotai Besar, Kalabakan dengan 26 kes kumulatif.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di pejabatnya, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.

* Sudah menjadi lumrah pemimpin atau ahli memilih untuk keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan atau perjuangan parti, kata Timbalan Pengerusi I Gabungan Rakyat Sabah, GRS Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata perkara ini tidak terkecuali dalam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir daripada Parti Warisan Sabah, Warisan yang mengumumkan keluar parti semalam dan menyokong kerajaan negeri pimpinan GRS.

* Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar, LPPB merancang untuk membina rumah mampu milik berkonsepkan ‘sewa beli’ bagi membolehkan golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, satu garis panduan sedang dirangka bagi menjayakan cadangan tersebut dalam tempoh empat tahun akan datang.

* Tamu Jalan Gaya (Gaya Street) akan dibuka semula, Ahad ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip menerusi laman rasmi Facebook Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK.

* Memakai peralatan perlindungan diri, PPE yang lengkap bagi mengebumikan mayat yang positif Covid-19, antara cabaran baharu yang terpaksa dilalui oleh perkhidmatan pengurusan mayat bagi masyarakat Kristian.

Walaupun bukan mudah, tanggungjawab itu tetap digalas bagi membantu mengurangkan bebanan tugas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

26th February 2021.