Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 26 Februari 2020

Bersama Norsarahana Zaki.

* Tragedi menyayat hati di Membakut. Tujuh sekeluarga termasuk seorang kanak kanak berusia 2 tahun, rentung manakala 3 lagi cedera selepas rumah kayu didiami mereka di Kampung Lampijas, Membakut, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

* Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil kali pertama di kaca televisyen selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Interim untuk menjelaskan senario terkini pergolakan politik yang melanda.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, beliau menjelaskan punca peletakan jawatannya adalah kerana tidak mahu parti campuran kerajaan melibatkan UMNO.

Menurut Dr. Mahathir, beliau tidak mahu UMNO mendominasi kerajaan, justeru memerlukan masa untuk membentuk sebuah kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti tetapi lebih mengutamakan kepentingan negara.

Berikut kenyataan beliau:

Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih.

Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.

Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang.

Sebenarnya saya telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih.

Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba.

Saya minta diberi masa.

Tetapi parti saya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH). Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.

Kesannya jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri Kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.

Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan. Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah.

Yang diPertuan Agong bertitah supaya saya dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Saya sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akan ditentang dan ditolak oleh ramai, tetapi mungkin ada yang menyokong. Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara.

Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

Jika diizin inilah yang akan saya cuba.

Saya berdoa dan saya pohon kepada Allah SWT saya diberi petunjuk dalam usaha ini.

* Politik tanah air di Semenanjung semakin bergelora selepas Pakatan Harapan PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, PKR, Amanah dan DAP sebulat suara bersetuju agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Datuk Seri Anwar dalam sidang akhbar PH di Ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur selepas kesemua mereka menghadap Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Pengumuman tersebut agak mengejutkan memandangkan semalam, ketiga-tiga parti itu secara terbuka menyatakan sokongan mereka agar Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-8.

* Semua jenis ikan dan hidupan laut di perairan Kota Kinabalu selamat untuk dimakan biarpun berlaku fenomena arus merah atau Red Tide pada ketika ini menurut Jabatan Perikanan Sabah dalam satu kenyataan hari ini.

* Polis Sabah berjaya membongkar taktik seorang lelaki yang menjadikan sebuah kondominium di Jalan Lintas, Kepayan, Kota Kinabalu, sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah sejak beberapa bulan lalu. Serbuan pada 9.25 pagi, Sabtu lalu oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri, berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM743,280 kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

* Seorang lelaki warga asing, Supriadi Juman, 50 tahun, dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM50,000 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Sandakan setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua batang gading gajah.

* Perkembangan teknologi masa kini perlu dimanfaatkan bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan nanas tidak kira sebagai vitamin, bahan makanan tambahan mahupun produk kecantikan.

Sebaliknya industri itu  tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan nanas mentah di pasaran. Itu antara potensi nanas yang dilihat oleh peserta program lawatan Pembelajaran Pengurusan Tanaman Nanas Keningau Diamond di Kampung Babason, Sook, baru-baru ini.

Mereka mendapat tunjuk ajar daripada Penasihat Pertanian Negara, Datuk Yap Yun Fook yang juga pengasas kepada Keningau Diamond AC12.