Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 25th March 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bernilai RM670 juta yang meliputi bantuan menyeluruh kepada setiap rakyat di Sabah yang terjejas berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pakej itu mempunyai 15 bantuan terbahagi kepada tiga kategori iaitu Bantuan Kepada Petugas Barisan Hadapan; Bantuan Kepada Rakyat Yang Terjejas dan Memperkukuh Perniagaan Serta Menambah Baik Kualiti Infrastruktur dan Kemudahan Asas Luar Bandar.

Pakej tersebut memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk memastikan bekalan barangan kritikal kepada petugas di barisan hadapan iaitu doktor, jururawat, pasukan kesihatan dan pihak imigresen cukup sepanjang masa.

Kerajaan negeri akan menanggung bekalan makanan kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja setiap hari dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Bagi memastikan bekalan makanan cukup kepada rakyat yang terjejas pula, sebanyak RM20 juta diperuntukkan iaitu RM18 juta bagi menghantar bekalan makanan ke kampung-kampung manakala RM2 juta lagi untuk menyediakan bekalan makanan kepada para pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi di Sabah dan Semenanjung yang tidak dapat keluar.

Turut tidak dilupakan adalah golongan rakyat miskin tegar dan miskin yang berdaftar di dalam e-kasih akan menerima bantuan kewangan RM500 seorang secara one-off bagi meringankan beban mereka dengan jumlah keseluruhan RM20 juta.

Bantuan kewangan one-off sebanyak 300 ringgit turut diberikan kepada semua rakyat Sabah golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk di Semenanjung melalui peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Bila air pula diberikan percuma kepada rakyat selama tiga bulan bermula April manakala diskaun 30 peratus untuk bekalan elektrik juga bermula April akan dilakukan.

* Perkhidmatan penghantaran makanan seperti ikan dan sayur-sayuran dibenarkan untuk bergerak dari satu daerah ke daerah lain sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini. Ketua Menteri berkata, beliau telah memberi arahan kepada pihak berkuasa supaya membenarkan golongan yang terlibat dalam perkhidmatan tersebut melepasi sekatan jalan raya.

* Ketua Menteri menegaskan pelbagai bantuan yang telah diumumkan dalam Pakej Bantuan Covid-19 Sabah termasuk pemberian makanan kepada golongan miskin dan miskin tegar akan disegerakan.

Beliau sehubungan itu mengingatkan rakyat agar tidak perlu keluar dari rumah kerana agensi keselamatan termasuk Unit Pejabat Pembangunan Masyarakat (UPPM) di setiap daerah telah ditugaskan untuk menghantar bantuan tersebut ke rumah setiap penerima.

*  Sebanyak 20,000 kotak berisi sejuta penutup hidung dan mulut yang dibeli oleh kerajaan negeri serta disumbangkan China telah sampai ke Sabah hari ini. Ketua Menteri berkata, peralatan kesihatan itu akan diagihkan kepada petugas di barisan hadapan terlebih dahulu kerana kepentingan tugas mereka berdepan dengan wabak Covid-19 sebelum diedarkan ke seluruh Sabah selepas itu.

* Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan kes kes baharu positif Covid-19 di negara ini. Dalam perutusan yang disiarkan secara langsung tengahari tadi, beliau menjelaskan, pelanjutan tempoh berkenaan dibuat lebih awal agar rakyat lebih bersedia.

* Sabah berdepan dengan masalah kekurangan reagen bagi membolehkan ujian makmal untuk mengesan pesakit yang positif Covid-19 kata Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Atas sebab itu, bilangan kes yang dilaporkan setiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar jumlah pesakit yang positif Covid-19.

* Bantuan makanan dan barangan keperluan seharian terus disalurkan kepada penduduk yang terjejas di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Di Tanjung Aru, 500 pakej bantuan barangan keperluan asas disalurkan kepada penduduk yang disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Datuk Junz Wong.

* Kerja keras dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam membendung wabak Covid-19 terus mendapat sokongan padu pelbagai pihak yang prihatin.

Di Penampang, pertubuhan bukan kerajaan, Penampang Relief Centre membekalkan pek makan tengahari kepada petugas di Klinik Kesihatan Penampang, setiap hari di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

* Selepas hampir setengah jam dikejar empat Unit Kereta Peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal, seorang lelaki akhirnya berjaya diberkas apabila kereta dipandunya kehabisan minyak lalu terbabas di Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

* 20 bot Pasukan Polis Marin, dengan kekuatan 322 anggota digerakkan dalam Op Covid-19 di perairan Sabah bagi mengekang pergerakan penduduk pulau yang ingin ke bandar dan sebaliknya.

Dalam operasi itu, pusat pemeriksaan di laut diwujudkan di tujuh lokasi di Labuan, Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Lahad Datu, Tawau dan Semporna.

* Sebuah bot kumpit dari Filipina yang dalam perjalanan masuk ke Sandakan untuk menjalankan aktiviti perniagaan transshipment, telah diarahkan keluar dari perairan Sabah dan berpatah balik ke Filipina. Langkah itu susulan keputusan Kerajaan Sabah untuk menghentikan sementara kemasukan bot kumpit dari Indonesia dan Filipina untuk memasuki Sabah, berkuat kuasa hari ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

* Menetap di daerah terpencil bukan alasan untuk tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Tahap pematuhan bagi perintah itu di kalangan penduduk di kawasan pedalaman dan pekan kecil di Sabah dilaporkan mencecah seratus peratus.

Antara kawasan yang mematuhi sepenuhnya perintah itu adalah Paitan, Sugut, Botition, Nangoh, Pekan Telupid dan Pekan Beluran.

* Di Tawau, tindakan Polis menegur masyarakat secara berhemah, kini bertukar menjadi amaran keras selepas masih terdapat segelintir masyarakat dikesan masih ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Kawalan.