Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 25 September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah esok.

Pengundi di negeri ini digesa berhenti mempertaruhkan nasib Sabah hanya selepas menerima RM200 daripada parti politik tertentu demi meraih undi menjelang hari terakhir berkempen.

Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, wang yang ditabur oleh calon parti tersebut adalah hasil duit rakyat sendiri yang ‘dikaut’ ketika berkuasa.

* Persoalan ‘apa kerajaan Warisan buat’ antara soalan yang sering kedengaran sejak kempen Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah bermula.

Menjelang hari-hari terakhir kempen, persoalan itu masih dibangkitkan oleh pihak lawan.

Namun, dalam tempoh 26 bulan memerintah, kerajaan yang dikatakan tidak berbuat apa-apa ini berusaha sebaik mungkin mengagihkan geran-geran tanah kepada pemohon yang telah bertahun-tahun menanti.

Sehingga kini, kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah, Warisan telah meluluskan sebanyak 8,771 permohonan tanah yang melibatkan kawasan seluas 16,093 hektar (39,767 ekar).

* Hari mengundi Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah esok diisytiharkan sebagai cuti kelepasan khas di seluruh negeri bagi membolehkan orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, pengisytiharan cuti umum itu dibuat berdasarkan Seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan Sabah (Sabah Bab 56).

* Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah, esok.

741 pusat mengundi dan 2,540 saluran pengundian dibuka esok melibatkan 28,656 petugas
Suruhanjaya Pilihan Raya SPR.

14,935 orang telah mengundi secara pos.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

* Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali memberi jaminan bahawa proses PRN Sabah, esok akan berjalan lancar.

Katanya, dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, RELA termasuk anggota polis dari Sarawak, tahap keselamatan negeri ini mampu dikawal.

* Mesej tular yang meminta pengundi-pengundi untuk mendapatkan elaun perjalanan di Bilik Gerakan utama Warisan Plus adalah palsu.

Bendahari Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun berkata hantaran mesej tersebut adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

* Sempena hari mengundi PRN Sabah esok, dua tokoh utama masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus, Tan Sri Richard Malanjum dan Tan Sri Bernard Dompok merayu rakyat negeri ini meletakkan kepercayaan kepada Warisan Plus untuk terus memimpin Sabah.

Kedua-dua tokoh berkenaan berharap rakyat Sabah berpadu  menolak tekanan politik Persekutuan demi memastikan hak-hak Sabah dapat dituntut.

* Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Darell Leiking berkata Sabahan harus bersatu dan menolak UMNO yang memecahkan perpaduan rakyat negeri ini.

Datuk Darell yang juga calon Warisan DUN Moyog berkata rakyat Sabah harus sedar perbalahan dan ketidaksepakatan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan pendekatan ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh UMNO-BN di negeri ini.

Sehubungan itu, rakyat Sabah harus menghentikan segala pertelingkahan kerana ini merupakan agenda UMNO sejak parti itu bertapak di bumi Sabah.

* Semangat perpaduan yang membara dalam jiwa Sabahan untuk menolak politik melampau Malaya dan mempertahankan hak negeri ini, diancam oleh pemimpin seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usahanya meraih sokongan pada PRN Sabah.

Najib dalam hantaran di Facebook baru-baru ini mempersoalkan gerakan ‘Unity’ yang mendapat sokongan di Sabah dan menjadikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai simbol perpaduan.

* Warisan Bahagian Papar menafikan dakwaan 17 cawangan Parti Warisan Sabah di Kawang, Papar keluar beramai-ramai, semalam.

Dalam satu sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar, pemimpin akar umbi Warisan Papar berkata cawangan parti itu masih berdiri teguh dan setakat ini hanya beberapa individu yang bertindak keluar parti.

* Mewujudkan daerah kecil Sukau dan merancakkan pembangunan Pekan Baharu Sukau secara lestari berkonsepkan pekan hijau antara 7 misi dan visi calon Warisan DUN Sukau, Amrah Liwangsa.

* Tinjauan suasana kempen saat akhir untuk menarik pengundi. Antaranya flashmob sekumpulan belia jentera Parti Warisan Sabah, Penampang
di bulatan Sigah Donggongon petang tadi.

25 September 2020.