Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 25 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kes positif baharu COVID-19 di Malaysia hari ini kembali melebihi angka 100 apabila sebanyak 172 kes baharu direkodkan, majoriti daripadanya membabitkan pendatang tanpa izin yang ditahan di depoh tahanan imigresen, menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 7,417 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 172 kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 167 kes adalah penularan tempatan.

159 kes adalah bukan warganegara Malaysia yang mana 112 kes telah dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen dan hanya lapan melibatkan rakyat Malaysia katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini.

* Jabatan Kesihatan Negeri Sabah  memperhebatkan usaha melakukan saringan Covid-19 di pintu masuk ke negeri ini.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata 5,084 individu direkodkan memasuki Sabah menerusi Sindumin di sempadan Sabah-Sarawak, sejak 29 April lalu.

Secara purata, 203 orang diperiksa setiap hari. Semalam, 4 kakitangan Jabatan Kesihatan Sipitang memeriksa 107 individu di pintu masuk Sindumin – Merapok bermula 6 pagi sehingga 6 petang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota KInabalu, Lapangan terbang Tawau dan Sandakan pula, 800 penumpang yang tiba dalam tempoh 2 hari lalu, diperiksa.

* Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata Kerajaan Sabah tidak harus dipersalahkan berhubung keadaan di pusat kuarantin di negeri ini sebagaimana dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya Kerajaan Sabah telah melakukan sebaik mungkin untuk memperbaiki kemudahan pusat kuarantin di negeri ini.

Walaupun terdapat kekangan termasuk dari segi kewangan, Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal telah mengambil inisiatif untuk keselamatan rakyat Sabah dengan membuka pusat kuarantin di Kompleks Sukan Likas sebagai tambahan kepada pusat kuarantin sedia ada.

Tegas Chan, sekiranya Najib masih berkeras kepala mahu menyalahkan Kerajaan Sabah, bekas Perdana Menteri itu seharusnya menyokong agar Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya “kesihatan” dan “kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit” dimasukkan dalam Senarai IIA, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Dana yang mencukupi kepada Kerajaan Sabah juga harus disalurkan Kerajaan Persekutuan.

* Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah tidak menolak kemungkinan kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut yang mengorbankan lima beranak, awal pagi semalam, berpunca daripada masalah pendawaian elektrik atau dapur memasak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata bagaimanapun siasatan masih dijalankan termasuk menunggu laporan lengkap di lokasi kebakaran yang dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Dalam tragedi itu, seorang ibu, Aishah Awang Jumat, 58, bersama empat anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 ditemui rentung.

* Satu jam 14 minit.

Itu tempoh masa yang diambil oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran untuk menghantar sebuah jentera bersama anggota bagi memadam kebakaran sederet bangunan kedai enam pintu di Kampung Gambaron 1, Telupid, semalam.

Kebakaran tersebut bermula pada pukul 4.30 petang dan bomba menerima panggilan kecemasan dua minit kemudian. Namun selepas bomba menempuh perjalanan sejauh 93 kilometer, bangunan tersebut telah musnah sepenuhnya.

Itulah hakikat yang perlu ditelan oleh masyarakat Telupid dan daerah Tongod yang terletak berhampiran setiap kali berlaku kebakaran, harta benda tidak dapat diselamatkan dan dalam beberapa kejadian sebelum ini, ada nyawa yang terkorban.

Perjuangan menuntut supaya balai bomba atau sekurang-kurangnya bomba sukarela dibina di daerah itu telah lama diadukan kepada Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan terdahulu tetapi masih tidak berjawab, jadi persoalannya sampai bila rakyat perlu menunggu?

Telupid mempunyai 39 kampung dengan lebih 10,000 penduduk dan mempunyai pekan yang pesat membangun  selain berjiran dengan daerah Tongod, maka pembinaan balai bomba di situ merupakan lokasi yang sangat strategik.

* Mengekalkan tema perayaan Keluarga Unik Kami, tahun ini, PETRONAS mempersembahkan filem web animasi sulungnya, “Antara Dua Jendela” yang menggunakan latar belakang suasana desa yang permai.

Aspirasi “Antara Dua Jendela” adalah untuk membawa mesej kebahagiaan kepada rakyat Malaysia tatkala berdepan dengan situasi mencabar ketika ini.

* Perancangan lima guru dan kakitangan Maktab Rendah Sains MARA, MRSM Tawau beraya di kampung halaman masing-masing yang tergendala ekoran Perintah Kawalan Pergerakan, tidak menghalang mereka dari meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, di Tawau.

Mereka sudah membeli tiket penerbangan dan sepatutnya pulang beraya ke kampung halaman namun hasrat itu terpaksa dilupakan.

Walaupun bersedih tidak dapat beraya di kampung masing-masing, lima sekeluarga itu tetap menyambut raya di Tawau dengan cara tersendiri.

* Pengarah baharu Jabatan Air Negeri Sabah, akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony.

Jawatan itu kosong susulan perpindahan Datuk Ir Amarjit Singh ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah sebagai Penasihat Teknikal.

Datuk Peter bagaimanapun menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya perpindahan Datuk Amarjit adalah disebabkan kontraknya ditamatkan lebih awal.

* Persatuan Bola Sepak Sabah, SAFA bersetuju supaya kejohanan bolasepak Piala Presiden dan Piala Belia, tidak diadakan pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, persatuan itu juga telah memutuskan untuk menamatkan kontrak para pemain dua kejohanan berkenaan lebih awal iaitu pada bulan Jun.

Dalam perkembangan lain, SAFA juga masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Liga Bolasepak Malaysia sama ada Liga Super akan diteruskan atau tidak.

Sementara itu, kejohanan bola sepak baharu dicetuskan SAFA iaitu Piala Borneo yang sepatutnya dijadualkan pada Mac lalu akan diadakan tahun depan, susulan penularan wabak Covid-19.