Bersama Salbinous Saribun.
* Rakyat Sabah diminta segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ketika ini kerajaan giat mengadakan kempen termasuk menggunakan pasukan bergerak ke kampung-kampung bagi memberi penerangan dan meminta rakyat supaya mendaftar untuk tujuan itu.
* Projek Skim Pembentungan Kota Marudu Fasa 1 bernilai RM107.33 juta yang dilaksanakan oleh kontraktor Kimolohing Jaya Sdn Bhd sejak Mei 2018, dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata proses pembinaannya berjalan lancar dan setakat ini 59.81 peratus daripada projek itu telah disiapkan.
Beliau berpuas hati dengan dengan prestasi kerja kontraktor berkenaan yang melakukan kerja dengan baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.
* Pewartaan Taman Kinabalu sebagai Global Geopark dijangka akan menjadi kenyataan menjelang Ogos ini atau awal tahun hadapan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata usaha mewartakan Kinabalu Global Geopark ini akan membuka peluang keemasan kepada Sabah dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Pelabur dan pelawat akan datang dan beriadah di tapak yang mendapat pengiktirafan badan antarabangsa kerana kecantikan alam semulajadinya ini.
* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat dengan 70 kes dilaporkan hari ini berbanding 45 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 470 kes.
Tiada kes kematian dilaporkan di Sabah, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Perintah Kawalan Pergerakan, PKPD dikenakan di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud bermula esok sehingga 8 April.
PKPD dilaksanakan di dua kampung berkenaan selepas berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi.
PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan ditamatkan esok.
Daerah Keningau merekodkan kes positif baharu tertinggi dengan 22 kes hari ini.
Dua kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Siasai Tamu, Kota Belud dengan 11 kes kumulatif dan Kluster Tenegang, Kinabatangan dengan 20 kes kumulatif.
* Polis Kontinjen Sabah akan terus mengekalkan tahap integriti yang tinggi bagi memberi perkhidmatan yang cemerlang agar tahap keselamatan di negeri ini sentiasa terjamin.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata ketika ini kerjasama masyarakat juga amat baik kerana mereka sentiasa memberi maklumat kepada PDRM sepanjang masa.
* Dua individu dikenali ‘Geng Taufiq’ yang memecah masuk kedai serta mencuri wang di kawasan Bundusan dan Beverly Hills sejak Januari lalu untuk tujuan santai dan menginap di hotel, ditahan di sebuah pusat membeli belah di Kota Kinabalu, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek berusia 13 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi susulan laporan daripada seorang pengadu yang menyedari kedai miliknya dipecah masuk pada pagi hari sama.
* Sebanyak 67 pain darah berjaya dikumpul dalam kempen anjuran Kelab Rekreasi Mimpaagat Tokou Sabah, Sabtu lalu.
Setiausaha kelab berkenaan, Eddy Limbang berkata kehadiran orang ramai melebih jangkaan 50 penderma darah.
Kempen dengan kerjasama Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bertujuan memastikan bekalan darah berterusan di tabung darah hospital berkenaan.
25th March 2021.