Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 25 Februari 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Penghantaran pertama 16,380 dos vaksin Pfizer- BioNTech untuk Sabah tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, 12.40 tengahari tadi.

Vaksin berkenaan dibawa menggunakan penerbangan Raya Airways RMY314 yang bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang pada 10.30 pagi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kerajaan negeri akan menerima sejumlah 104,130 dos vaksin Pfizer-BioNTech secara berperingkat melalui enam kumpulan bagi fasa pertama, bermula hari ini.

Katanya, dalam fasa pertama ini, seramai 42,117 orang petugas barisan hadapan di seluruh Sabah termasuk petugas Kementerian Kesihatan Malaysia akan menerima vaksin.

* Kerajaan Sabah menubuhkan pasukan petugas khas bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 di Sabah, berjalan lancar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pasukan petugas khas itu akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

* Ketua Menteri mengisytiharkan pengagihan pendapatan Interim Pertama Saham Amanah Sabah, SAS pada kadar 4.20 peratus atau 4.20 sen seunit tahun ini, yang akan dibayar kepada 49,626 pelabur.

Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan berkata SAS berjaya memperoleh pendapatan bersih RM 52.98 juta setakat 22 Februari.

* Agihan bantuan bakul makanan di Sabah dijangka selesai menjelang hujung bulan ini atau selewat-lewatnya pada minggu pertama bulan Mac.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 320,000 bantuan bakul makanan dapat diagihkan dalam tempoh terdekat.

Sehingga semalam, lebih 181,000 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar di negeri ini.

* Malaysia melaporkan kes harian kurang daripada 2,000 kes dengan 1,924 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.

Kes positif baharu COVID-19 di Sabah turut menurun dengan 93 kes dilaporkan hari ini, berbanding 105 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 52, 466 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata tiada kes kematian dan tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah dalam tempoh 24 jam lalu.

Buat kali pertama, Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu satu angka sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda negara.

Masidi mengingatkan, rumah terbuka dan kunjung-mengunjung ketika sambutan Chap Goh Mei esok tidak digalakkan bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan Covid-19.

* 11 premis perniagaan yang menjual Gas Petroleum Cecair, LPG di Sabah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang dikuat kuasakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP.

Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri Sabah, Georgie Abas berkata, nilai rampasan yang terlibat berjumlah RM1,117.20.

25th February 2021.