Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 25 Februari 2020

Bersama Aza Mini Liashin.

* Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya esok.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal tidak pernah menyertai mesyuarat bersama pemimpin tertinggi UMNO, Pas serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Kuala Lumpur pagi ini seperti yang dilaporkan sebuah portal berita. Sebaliknya beliau berada di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah sepanjang hari ini untuk menjalankan tugas rasmi.

* Sistem perkhidmatan kerajaan negeri maju setapak ke arah transformasi digital sepenuhnya melalui pelancaran e-tukar dan e-peperiksaan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah bermula hari ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, kedua-dua sistem itu yang dibangunkan pakar tempatan menunjukkan kerajaan berada di landasan tepat ke arah perkhidmatan berkonsepkan    5A iaitu ‘any mobile, accessible, anywhere, anytime dan anyone’.

*  Dari Pulau Bum Bum ke Amerika Syarikat. Itu kisah 2 pelajar, Muhammad Azizan Totik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bum Bum, Semporna dan Gwyneth Valencia Ortiz dari Sekolah Menengah St. Patrick, Tawau. Mereka antara 5 pelajar yang terpilih dalam Program Pertukaran Pelajar selama tiga minggu di Amerika Syarikat.  Kedua duanya amat teruja dengan pengalaman baharu itu dan tidak sabar untuk menimba pengalaman dan pengetahuan di negara uncle Sam itu.

* Polis menahan tujuh lelaki dan menyita lapan bot serta 25 enjin sangkut bernilai RM1.15 juta yang disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah di dua lokasi berasingan di Wilayah Persekutuan Labuan kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

* Polis Penampang memberi tempoh tiga bulan kepada 90 pemegang lesen senjata api tumpang pakai di daerah ini untuk mengurus dan mengambil semula senjata api milik mereka. Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata jika senjata terbabit tidak diambil, lesennya akan ditarik balik dan senjata api itu akan dilupuskan. Ini kerana ada senjata api yang ditumpangkan sejak 2001 lagi dan polia sudah memberikan kelonggaran tidak mengambil dan mengenakan sebarang bayaran.

* Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara antara sebulan hingga tiga bulan serta denda ke atas enam kontraktor yang mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak ke asrama sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan nilai tender antara RM2 juta hingga RM3.6 juta.